BIODATA RINGKAS PENULIS
Buku setebal 595 mukasurat ini telah
ditulis oleh pendebat terkenal Syeikh Ahmad Deedat atau nama sebenarnya, Ahmad
Hoosen Deedat. Beliau dilahirkan pada 1 Julai 1918 di India. Setelah dilahirkan,
keluarganya langsung berpindah ke Afrika Selatan. Beliau yang dikenali sebagai
pendebat dalam comparative religion telah meninggal dunia pada 8 Ogos
2005 di Afrika Selatan. Sepanjang hayat beliau, beliau berjaya menulis sebanyak
20 buah buku bahkan buku yang bertajuk ‘Pilihan’ ini merupakan buku yang paling
laris pernah beliau hasilkan.
PERSEDIAAN SEBELUM MEMBACA BUKU INI
Menurut pendapat penulis, adalah
dinasihatkan untuk mengetahui beberapa nama kitab-kitab dalam agama Kristian.
Maklum mengetahui bahawa kitab mereka terbahagi kepada dua iaitu Old Testament (Taurat)
dan New Testament (Injil). Dalam Old Testament yang menjadi pegangan kuat oleh
orang-orang Yahudi ini pula terdapat banyak ceraian kitab-kitab antaranya
Joshua, Rudges, Samuel (2 versi), Kings (2 versi), Chronicles (2 versi), Ezra,
Nehemiah, Esther dan lain-lain. New Testament juga mempunyai banyak kitab
antaranya ialah Mathew, Mark, Luke , John, Acts, Romans, Timothy dan banyak
lagi. Walaupun orang-orang yahudi hanya berpegang pada kitab Taurat, namun
penganut Kristian membenarkan kedua-dua kitab tersebut.
Sebelum memulakan sesuatu hujah, adalah
sangat bijak untuk kita mengetahui mazhab yang dipegang oleh orang Krisitan
tersebut samada mazhab Protestan, Roman Katholik, Orthodoks, Lutheran , Aglikan
atau yang lain. Selain itu, adalah menjadi suatu kelebihan apabila kita cakna
akan siapa penulis Bible tersebut samada ianya ditulis oleh Paulus, Mathew,
Lucas atu Yohanes. Hal ini kerana, apabila kita mengetahui sebab kitab tersebut
ditulis atau sejarah penulis tersebut, ia juga membantu kita dalam
menjadikannya sebagai bahan hujah.
PERSOALAN YANG PERLU DICARI JAWAPANNYA
Berdasarkan pembacaan terhadap buku Pilihan
ini, terdapat 6 persoalan menarik yang boleh dijadikan sebagai satu booster
untuk kita mencari jawapannya. Antara 6 persoalan tersebut adalah:
- Apakah Injil ada menyebut tentang Nabi Muhammad saw? Dalam Bible Deuteronomy 18:18 ada menyebut “like unto thee..”. Para pendeta Kristian amat yakin bahawa ayat tersebut merujuk kepada Nabi Isa. Namun dalam coretan buku ini, Syeikh Ahmad Deedat mengeluarkan banyak bukti serta keterangan bahawa ayat tersebut merujuk kepada Nabi Muhammad saw. Apakah yang dinyatakan oleh Syeikh Ahmad Deedat hingga hampir kesemua hujahnya diiyakan oleh Dominee Van Heerden?
- Apakah bukti yang menunjukkan nabi Muhammad sebagai manusia paling agung sehinggakan seorang pengkaji sejarah dan ahli matematik Amerika, Michael H.Hart menyebutkan dalam bukunya bertajuk The Top Hundred/Greatest Hundred in History meletakkan Nabi Muhammad saw pada ranking pertama. Sedangkan Jesus seorang manusia yang mereka angkat pula diletakkan pada kedudukan nombor ketiga. Adakah terdapat konflik antara penganut Kristian terhadap Jesus?
- Apakah bukti yang menyatakan al-Quran itu sebagai mukjizat?
- Bagaimanakah pula dengan Injil, adakah ia firman Tuhan? Adakah terdapat campur tangan daripada mana-mana pihak?
- Apakah yang dimaksudkan dengan cruxifion (penyaliban) dan crucifiction (kisah penyaliban)? Syeikh ada menyatakan disini bahawa sekiranya tidak berlaku crucifiction maka kemungkinan agama Kristian tidak akan ada di dunia ini!
- COMBAT KIT! Bagaimana mahu memulakan langkah sekiranya minat untuk mendalami comparative religion sudah ada?
COMBAT KIT!
Sekiranya anda sudah mempunyai minat
terhadap bidang comparative religion, nah mulakan dengan tips yang telah
digariskan oleh Syeikh Ahmad Deedat sendiri.
Langkah pertama-keperluan untuk anda
mempunyai kitab Injil. Ini sudah pasti perlu ada!
Langkah kedua- meletakkan kitab Injil di sebelah
indeks yang telah disediakan sendiri oleh syeikh pada halaman 325-327.
Menariknya indeks ini telah disertakan sekali dengan halaman mukasurat pada
kitab Injil. Anda hanya perlu untuk merujuk sahaja. Mudah kan?
Langkah ketiga- sediakan pen merah,kuning
dan hijau. Sekiranya anda menjumpai ayat yang bertentangan moral kehidupan,
warnakan dengan pen merah. Manakala, apabila anda menjumpai topik yang
berlainan pula seperti ayat menyatakan tentang Nabi Muhammad saw, warnakan
dengan pen hijau. Untuk topik yang bertentangan
warnakan dengan pen kuning. Hasilnya anda akan menjadikan kitab injil tersebut
penuh dengan kod-kod warna yang dapat digunakan secara cepat untuk dijadikan
hujah kepada pendeta Kristian.
CONTOH AYAT BERTENTANGAN DENGAN SOSIAL DALAM INJIL
[Genesis 19: 33-36]
Dalam kitab tersebut ayat yang ditulis
adalah seperti berikut:
“Pada malam itu mereka (kedua-dua anak
perempuan Lut) memberi ayah mereka (Lut) minum anggur, lalu anak perempuan yang
lebih tua melakukan hubungan seksual dengannya.
Keesokan harinya, berkatalah si kakak
kepada adiknya: “Malam tadi aku telah tidur dengan ayah, sebaiknya malam ini
kita beri dia minum anggur lagi, masuklah engkau untuk tidur dengan dia
sehingga masing-masing dari kita akan mempunyai anak dari ayah kita.”
Demikianlah pula pada malam itu juga mereka
memberi ayah mereka minum anggur, lalu anak perempuan yang lebih muda membuat hubungan
seksual dengan ayahnya.
Dengan cara ini, mengandunglah kedua-dua
anak Lut itu dari ayah mereka.”
Daripada ayat diatas, dapat kita saksikan
bahawa terdapat unsur penzinaan/sumbang mahram yang ditulis dalam kitab yang
dianggap suci oleh penganut Kristian. Mustahil bukan?
CONTOH AYAT MENYATAKAN SIFAT YANG TIDAK PATUT SEBAGAI TUHAN
1)Tuhan bersuit-[Bible Isaiah 5:26, 7:18,
Zachariah 10:8]
2)Tuhan mengaum-[Bible Isaiah 42:13,
Jeremiah 25:30]
3)Tuhan mencukur-[Bible Isaiah 7:20]
4)Tuhan menyesal-[Bible Jeremiah 15:6,
Kejadian 6:6]
5)Tuhan menunggang kerub-[Bible 2Samuel
22:11]
6)Tuhan membunuh 50070 kerana melihat
bahtera Tuhan-[Bible 1Samuel 6:19]
PENUTUP
Sebenarnya terdapat banyak lagi
contoh-contoh kepincangan ayat yang dinyatakan dalam Bible. Ini membolehkan
kita untuk berdebat dengan mereka berdasarkan pengetahuan tentang kitab mereka
sendiri. Secara keseluruhannya, buku Pilhan ini berkisar tentang
perbandingan antara Islam dan Kristian yang dikupas secara habis-habisan dengan
menggunakan kaedah menyatakan kesalahan yang ada pada Old Testament dan New
Testament. Untuk mengetahui lebih banyak pengetahuan mengenai isu ini
secara lumat, adalah dinasihatkan untuk membaca sendiri buku-buku karangan Syeikh
Ahmad Deedat.
Sebelum itu, suka untuk dikongsikan ayat
16-20 dalam Injil Matheus bab 7 yang menyatakan “Mengapa tidak menerapkan
ujian pahit yang Tuhan kehendaki sendiri
agar diterapkan kepada sesiapa sahaja yang akan menjadi penuntut kenabian?” Dia
telah berkata, “dari buahnyalah kamu akan mengenali mereka. Dapatkah orang
memetik buah anggur dari semak duri atau buah ara dari rumput duri? Demikianlah
setiap pohon yang baik menghasilkan buah yang baik, sedang pohon yang tidak
baik menghasilkan buah yang tidak baik, dari buahnyalah kamu akan mengenali
mereka.” Ayat ini telah dibacakan setelah Dominee menolak kebenaran yang
dinyatakan oleh Syeikh Ahmad Deedat tentang Nabi Muhammad dalam kitab Injil.
“The problem in the world is that the intelligent peoples are full of doubts while the stupid ones are full of confidence”
~Charles Bukowski.
Satu perkara yang perlu difikirkan apabila
kita menyedari bahawa kita adalah umat Islam. Allah hadirkan satu agama yang
lengkap, diterangkan semua perkara daripada sekecil-kecil hal sehinggalah
kepada isu-isu mega. Tidak melampau sekiranya dikatakan Islam hadir dengan ilmu
yang cukup mapan serta melimpah. Namun, satu perkara yang menyedihkan adalah
apabila kita sendiri tidak mengetahui agama sendiri bahkan apabila ditanya oleh
pihak Kristian, kita hanya mampu diam. Tidak tahu bagaimana untuk menjawab.
Pada sisi yang lain pula, ada sesetengah daripada kita yang mempunyai ilmu,
namun kurang keyakinan terhadap ilmu yang diperoleh. Melihat kepada masalah
ini, satu persoalan telah timbul. Sampai bila kita hanya mengharapkan insan
seperti Syeikh Ahmad Deedat dan Dr Zakir Naik sahaja yang mampu berhujah dengan
penuh hikmah dan ilmu untuk menjelaskan kebenaran Islam? Adakah kita tidak mahu
menguasai walaupun pada perkara asas tentang kekeliruan dalam agama?