Bismillahirahmanirrahim..
Setinggi-tinggi kesyukuran
diungkapkan kehadrat Ilahi, sang Maha Pencipta di atas segala limpahan nikmat
terutamanya nikmat IMAN dan ISLAM sehingga kita masih mampu menghirup nikmat terbesar
dan diberi peluang dan ruang untuk berada di bulan mulia Rabiul ‘awal ini.
Hamparan salam sejahtera dan selawat jua dihadiahkan kepada junjungan besar
kita Nabi Muhammad S.A.W, penghulu segala Rasul diatas segala pengorbanan dalam
menyebarkan dan menegakkan kebenaran Islam sehingga memberi rahmat kepada
sekalian alam.
Firman Allah S.W.T :
وما أرسلناك إلا رØمة للعالمين ( الأنبياء :
107 )
Maksudnya :
Tidaklah aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat
kepada sekalian alam (manusia dan jin).
Bulan Rabiul ‘awal didefinisikan
sebagai bulan di mana bermulanya musim bunga dan musim berbuah bagi tanaman.
Bulan ini bulan yang ditunggu-tunggu oleh pencinta Nabi Muhammad SAW, bulan
di mana insan yang sangat mulia di dunia ini dilahirkan. Hadirnya Baginda bagai
matahari, cahayanya terang menerangi seluruh alam, membawa panji obor keislaman
sehingga dijulang ke seluruh pelusuk alam.
Sebagaimana yang
diketahui, saban tahun kita meraikan sambutan kelahiran junjungan mulia baginda Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah, telah menjadi
satu tradisi pada hari ini untuk meraikan sambutan memperingati Baginda SAW seperti
lantunan mahabbah Qasidah, burdah, berzanji, ceramah-ceramah, forum-forum dan
lain-lain. Namun, alangkah indahnya jika menghayati erti pengorbanan dan sirah perjuangan
Nabi yang mulia ini supaya ia dapat menusuk ke dalam jiwa kita,
menyentuh naluri rohani kita, mengetuk pintu hati kita dan membangkit semula semangat
roh perjuangan baginda Nabi SAW
dalam diri kita yang sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama dalam menegakkan syariat
Islam di atas muka bumi ini.
Apakah sambutan kelahiran Nabi SAW hanya
sekadar memperingati Baginda pada bulan Rabiul Awwal sahaja? Secara bermusim?
Lantas selepas berlalunya bulan barakah ini, kita tidak perlu lagi mengingati
Baginda? Sedangkan kita adalah pewaris dan penyambung mata-mata rantai
perjuangan Rasulullah SAW. Siapalah kita di sisi Baginda untuk
mengharap syafaatnya, belas kasihannya tatkala matahari terik sejengkal di atas
kepala jika kita tidak memperuntukkan sedikit masa pun untuk berselawat
kepadanya. Sollu ‘ala Nabi!
Koreksi diri samada kita
semakin jauh atau dekat dengannya. Berselawatlah, selawatlah, selawatlah
sentiasa, setiap tempat setiap masa, setiap saat. Menangislah kerana kerinduan
kita terhadap kekasih Allah SWT. Menangislah kerana amat ingin bersama-sama
Rasulullah SAW di syurga Firdaus kelak. Menangislah untuk bertemu Rasullah SAW
dalam mimpi kerana tahu diri tidak layak untuk ke syurga Ilahi. Deraikanlah air
mata dan menangislah kerana hidup kita memang
dimulakan dengan sebuah tangisan anak kecil , dicelahi dengan tangisan dan
diakhiri dengan tangisan. Air mata manusia sentiasa dalam dua-yang
menguntungkan dan yang merugikan. Dan untunglah jika tangisan itu daripada tangisan
kerana merindui Nabi Muhammad SAW. Sollu ‘ala Nabi!
Pada bulan ini jugalah Sang
Pencipta menjemput kekasihNya, Nabi Muhammad SAW pada hari yang sama dengan
tarikh lahir baginda iaitu pada 12 Rabiulawal tatkala baginda berusia 63 tahun.
Sollu ‘ala Nabi!
ALLAH S.W.T berfirman dalam surah Al-Maidah ayat ke-3 :
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian, dan Aku sempurnakan nikmat-Ku ke atas kalian, dan Aku redha Islam sebagai agama kalian.”
Saat turunnya ayat ini bergenanglah air mata para sahabat nabi kerana
terlalu sedih untuk berpisah dengan baginda. Ketiadaan dan kehilangan baginda
sentiasa dirasai sehingga kini. Kami merinduimu ya Rasulullah. Sollu ‘ala Nabi!
Sempena peristiwa kelahiran dan
kewafatan Nabi Muhammad SAW pada bulan yang mulia ini, marilah sama-sama kita basahkan
lidah dengan memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud:
“Barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah SWT akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.”
(Hadis riwayat Imam Muslim
daripada Abdullah Bin Amru Bin Al-‘Ass RA)