Abdullah Takhir datang ke rumah Ustaz Azri
menceritakan bagaimana hidupnya diuji dengan penuh kesusahan. Beliau tidak
mampu lagi menghadapinya dan ingin berputus asa.
Takhir mengadu kepada Ustaz Azri
bahawa dia terasa amat letih untuk meneruskan perjuangan dan berlawan. Setelah
satu masalah selesai, satu masalah baru pula timbul.
Ustaz Azri hanya mendengar dan tidak berkata
apa-apa. Beliau menyuruh Takhir mengikutnya
ke dapur.
Takhir pun mengikut tanpa bertanya. Ustaz Azri mengisi air di dalam tiga periuk kecil dan mendidihkannya ketiga-tiga serentak.
Semasa air mendidih, Ustaz Azri memasukkan lobak merah ke dalam periuk pertama, telur ke dalam periuk kedua dan biji kopi ke dalam periuk ketiga.
“Apa yang ustaz buat? Nak masak apa tu?”
Ustaz Azri tidak berkata apa-apa dan membiarkan air mendidih selama 20 minit. Setelah 20 minit, Ustaz Azri mengeluarkan lobak merah, telur dan biji kopi ke dalam sebuah mangkuk.
“Takhir, apa yang enta nampak?”
“Lobak merah, telur dan kopi,” jawab Takhir.
Ustaz Azri menyuruh Takhir untuk menyentuh lobak merah tersebut. Takhir mendapati lobak itu sudah menjadi lembut. Kemudian Ustaz Azri menyuruh Takhir untuk memecahkan telur tersebut. Selepas mengupas kulitnya, Takhir mendapati isi telurnya sudah masak penuh. Kemudian, Ustaz Azri menyuruh Takhir mencuba air kopi di dalam periuk ketiga. Takhir berasa rasanya penuh aroma kopi.
“Ustaz, apa maksud semua ini?”
“Setiap benda ini (lobak merah, telur dan biji kopi) telah melalui kesusahan yang sama, iaitu air mendidih. Tapi setiap satunya memberikan reaksi berlainan.
Lobak merah masuk dalam keadaan keras, kuat dan kasar. Akan tetapi setelah melalui ujian air mendidih ia keluar lembik dan lemah.
Telur masuk dalam keadaan rapuh dan mudah pecah. Dalam cecair yang hanya dilindungi satu kulit yang nipis. Akan tetapi setelah melalui ujian air didih, ia bertukar menjadi keras.
“Bagi bijih kopi pula, ini yang menarik. Semasa mereka dalam air mendidih, mereka menukar seluruh air mendidih kepada air kopi yang wangi aroma seperti yang diminum Takhir tadi,” terang Ustaz Azri sambil tersenyum.
Mata Takhir seolah-olah terpukau dengan penjelasan Ustaz Azri.
“Jadi, Takhir adalah yang mana satu? Bila kesusahan melanda, bagaimana Takhir menghadapinya? Lobak merah, telur ataupun biji kopi?” tanya Ustaz Azri kepada Takhir yang tersentak dengan persoalan itu.
Wahai anakku,
Semasa ujian Allah datang mengetuk pintu kamu, bagaimana engkau harus menghadapinya?
Adakah kamu seperti lobak merah yang nampak kuat, tapi dengan sedikit ujian dan kesusahan, kamu bertukar menjadi lembik dan hilang segala kekuatan?
Ataupun kamu seperti telur dengan hati yang bagaikan cecair yang mudah dipengaruhi haba dan setelah melalui musibah, luaran kamu nampak tidak berubah, akan tetapi hati kamu dah bertukar menjadi keras, tidak gembira dan tidak beransur.
Ataupun kamu ialah biji kopi, makin didih, kamu mampu mengubah keadaan situasi kamu sehingga keadaan itu mengeluarkan bau aroma yang menakjubkan.
Jadi siapakah kamu, wahai anak kesayanganku?
Ingat, Allah tidak akan menguji seseorang melebihi kemampuannya. Apabila menghadapi kesusahan, ingatlah Allah sedang menguji kamu, dan aku berharap kamu bertindak seperti biji kopi, bertambah baik dan mengubah keadaan sekeliling kepada situasi positif.
Ingatlah, waktu yang paling sukar adalah masa terbaik untuk meningkatkan diri ke tahap yang lain.