Bismillahirrahmanirrahim
Segala puji-pujian kepada Allah yang memiliki segala pujian, Selawat dan salam buat Rasulullah; Khatimul Anbiya’.
Alhamdulillah Allah beri kesempatan untuk menulis sepatah dua kata sebagai peringatan untuk kita. Sungguh, peringatan itu tidaklah membosankan sebaliknya amat berguna untuk mereka yang beriman.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah,
Tatkala asyik terleka dengan kesibukan belajar dan urusan harian, sedar ataupun tidak kita berada di hujung tahun sesi pengajian 2010/2011. Dan di akhir sesi pengajian ini, menjadi lumrah untuk kita diuji sejauh mana penguasaan kita terhadap subjek-subjek tahun 1 ini. Walaupun, paradigma kita bukanlah ‘exam oriented’, tetapi sememangnya perlu untuk kita melalui peperiksaan ini untuk menguji tahap ilmu kita lebih-lebih lagi kita semua adalah bakal doktor.
Para ulama’ hadith dan lain-lain bidang, seringkali memulakan penulisan kitab mereka dengan meletakkan hadith yang pertama dalam Hadith 40 Nawawiah. Tujuan mereka hanyalah satu, supaya mereka sendiri dan para pembaca kitab tersebut, memulakan niat sesuatu pekerjaan semata-mata kerana Allah S.W.T.
Niat yang membezakan antara Ibadat dan Adat. Mampu mengubah sesuatu pekerjaan yang kecil pada zahirnya tapi Besar di sisi Allah, dan pekerjaan yang besar pada zahirnya tapi tak bernilai di sisi Allah.
Fatrah imtihan yang sedang kita lalui ini, merupakan ‘benchmark’ untuk 2 perkara.
1. Untuk tahap penguasaan ilmu kita
2. Untuk tahap pergantungan dan tawakkal kita pada Allah
Sesungguhnya, pergantungan dan tawakkal pada Allah mustahil akan lahir sekiranya usaha kita tidak disandarkan dengan niat kepada Allah. Ruginya bagi kita, sekiranya usaha kita banyak tapi tidak disandarkan pada Allah akhirnya menjadi ‘debu-debu beterbangan’. Banyak tapi sedikit pun tidak bermanfaat.
Justeru, ayuh kita Tajdid (perbaharui) niat kita, semata-mata kerana Allah S.W.T.
Sahabat-sahabat seperjuangan,
Perjalanan kehidupan kita sepanjang Tahun 1 ini, telah melakar detik-detik yang amat bermakna buat diri kita semua. Saya sendiri merasakan bahawa pengalaman kita pada tahun ini, tidak mampu dicari ganti. Tak akan lapuk dek panas, tak akan lekang dek hujan. Pasti akan terus mekar dalam memori kita semua.
Annual Dinner Gen X PERUBATAN yang akan dilaksanakan selepas tamatnya exam nanti, merupakan satu tanda penghargaan buat kita semua.
Buat kamu semua yang menghidupkan Generasi ke 10 PERUBATAN ini. Saya yakin, majlis ini juga pasti akan mengukir memori yang indah buat kita.
Hakikatnya, hubungan persahabatan (ukhwah) adalah amat penting hinggakan para ulama’ mengatakan bahawa nikmat terbesar selepas nikmat Iman & Islam adalah nikmat sahabat-sahabat yang soleh dan baik. Maka, majlis ini juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang sedia terjalin hingga ia kukuh bak binaan yang teguh.
Mustahil kiranya jika sebahagian sahaja yang turut serta dalam majlis ini. Ibaratnya, seperti pasir tidak mahu menyertai batu-bata, simen dan air dalam pembinaan sebuah bangunan. Pastinya bangunan itu akan cacat bahkan tidak kukuh sama sekali.
Justeru, saya menyeru kepada semua ahli Gen X PERUBATAN untuk mengambil bahagian dalam majlis yang akan diadakan ini. Ketepikan masalah yang timbul, kerana matlamat & hajat kita lebih besar dari masalah-masalah yang timbul itu.
Usah risau tentang wang atau bayaran yang dikenakan. Saya selaku orang yang di amanahkan untuk menjaga kebajikan semua ahli-ahli batch, memberi jaminan untuk mencari alternatif untuk selesaikan masalah yang timbul terutama berkaitan dengan duit.
Sahabat-sahabat yang diredhai Allah,
Akhir kalam, sama-samalah kita muhasabah kembali diri kita. Ingatlah bahawa, fatrah imtihan yang berlangsung ini, adalah peluang untuk kita lebih taqarub (mendekatkan) dengan Allah.
Teringat kata-kata senior, “Laksanakan Kefardhuan, Tinggalkan Maksiat”.
Maka yakinlah, jika kita jaga hubungan dengan Allah (HDA), insyaallah Allah akan bantu kita.
LETS STRIVE TOWARDS MUMTAZ!
Muhammad Rafhan Ridha Bin Mohd Diah
Wakil Gen X PERUBATAN
Sesi 2010/2011
nape Wakil Gen X PERUBATAN??
ReplyDeletetulis la ketua batch sesi 2010/2011.,hhh