Hari ketiga kami lebih mengujakan, Tanta Huda sudah siap sedia untuk membuat biskut raya. Inilah saat-saat yang kami tunggu. Berbeza dengan kuih Malaysia yang dibuat kebanyakannya menggunakan ‘butter’, kuih raya mereka banyak menggunakan ‘ghee’. Melihat kuantiti ghee yang digunakan, penulis hanya mampu beristighfar mengingatkan diet yang kelihatannya tak dapat diteruskan sepanjang menetap di rumah Amm Saeid.
Begitu banyak daya yang perlu kami berikan dalam membuat kuih raya tersebut. Misrein tidak membuat kuih-raya seloyang kecil, tapi sebesen besar!
Ketuhar tradisional dikendalikan Tanta Huda. Sementara kami bermandi peluh bergilir-gilir memusing mesin penggelek, Tanta Huda duduk di depan ketuhar, sesekali mengawasi biskut yang diletakkan di dalamnya. Jujurnya, penulis cuma bertahan 5 minit memusing mesin penggelek sementara Mina yang lebih muda begitu kental melakukannya tanpa merungut.
Malamnya, selesai solat terawih, kami bergegas ke rumah kerana ada urusan penting malam itu. Adik Nuha, Sarah dan Usama telah pun bertunang dan bakal berkahwin dalam masa yang terdekat. Malam tersebut kami berpeluang melihat Sarah memilih barang kemas selain melawat bakal tunang Usama.
Semestinya, bab-bab kahwin ini menjadi kegemaran penulis sehingga kak Julanar sendiri segan dengan keterujaan penulis. Kami dibawa menaiki kereta Usama menuju ke madinah Zaqazig. Kebetulan pula, hari tersebut merupakan eid milad Nuha, menambahkan kemeriahan suasana malam tersebut.
Madinah Zaqazig seakn-akan sama seperti Cairo, tak banyak bezanya. Kami dibawa ke deret-deret kedai emas, di mana keluarga tunang Sarah sudah sedia menanti. Menjadi kelaziman dalam perkahwinan Arab, barang kemas satu set akan diberikan kepada pengantin perempuan. Daripada gelang, rantai, cincin dan subang. Setelah beberapa perbincangan dalam sebuah kedai emas, Sarah membuat keputusan memilih set barang kemas pilihannya. Beratnya 300 gram, harganya wallahu’alam.
Selepas itu, kami menziarahi keluarga tunang Usama pula. Melihatkan sahaja bakal pengatin tersebut, penulis jatuh hati. Orangnya comel, lembut, murah dengan senyuman dan merupakan seorang hafizah. Memandangkan perbincangan dua keluarga tersebut tak melibatkan kami, kami meminta izin untuk pergi ke kedai di kawasan sekitar dengan ditemani Nuha.
Sebelum pulang, tunang Sarah yang turut sama ada ketika itu kerana kereta Usama tidak dapat menampung semua orang, memberikan hadiah hari lahir kepada Nuha. Wah, bijak sungguh bakal pengantin tersebut memenangi hati bakal kakak iparnya.
Esoknya, kami menyambung membuat biskut. Tanta Huda membeli tamar Agwa yang telah dihancurkan dan ‘gum arabic’ untuk diisi dalam biskut. Tugas kami sekadar membuat corak di atas biskut tersebut.
Keesokan paginya, kami bersiap-siap pulang. Pengalaman berpuasa di Zaqazig bersama keluarga angkat tak mungkin dapat penulis lupakan. Belajar memahami budaya arab dan menghargainya. Barangkali tidaklah jauh bezanya dengan saudara semuslim di Malaysia, tapi semestinya berlainan.
0 comments:
Post a Comment