Sunday, March 25, 2012

Bimbingan Mumtaz SOLAT

Salam Jamadil Awal, sahabat-sahabat GenX semua...
^^,

Rasulullah s.a.w bersabda,
“Tidaklah seseorang hamba itu diberi pahala dalam solatnya melainkan apa-apa yang dihadiri oleh akalnya.” (Riwayat Abu Mansur Ad Dailami)

Sesungguhnya tujuan daripada bacaan solat serta zikir-zikirnya ialah untuk memanjatkan puji-pujian,merendahkan diri dan berdoa. Dan yang diajaknya berbicara ialah Allah azza wa jalla.

Sekiranya hati tertutup dengan kelalaian, lidah kita hanya bergerak seperti sudah menjadi adat ritual sahaja. Kalimah hanyalah sekadar di bibir dan tidak menembusi ke dalam kalbu.Alangkah jauhnya maksud solat itu padahal ia diperintahkan untuk memperbaharui ingatan kepada Allah.

6 tips menuju kecemerlangan solat;

1.      KEHADIRAN HATI
Apabila hati tidak hadir dalam solat,ia pasti berlegar legar dan memikirkan sesuatu yang menjadi perhatian kita yakni hal berhubung urusan keduniaan. Bagi mengubati sindrom ini,perlu kepada keimanan dan kepercayaan maksima bahawa penempatan akhirat lebih baik dan kekal. Juga solat adalah jambatan dan wasilah untuk mendapat kebahagiaan di sana.

2.      MEMAHAMI MAKSUD
Sesudah hati yang fokus,kita mesti mempunyai pengetahuan mantap tentang pengertian seluruh lafaz yang diucapkan. Arahkan titik pemusatan fikiran kita untuk memahami segala apa yang tersirat. Bukankah dengan menjiwai makna makna yang halus dalam Al Quran sewaktu solat berjaya mencegah kita dari melakukan perkara sia-sia dan salah.

3.      MENGAGUNGKAN
Untuk membuahkan kerendahan hati,dua perkara perlu kita jelasi;
1.     Makrifat(kesedaran) kepada keagungan Allah ialah akar keimanan hakiki
2.    Kehinaaan diri sendiri bahawa kita hamba semata-mata yang dikuasai penuh oleh-Nya.


solat-11 


4.      TAKUT DAN TAKWA
Seandainya kita melakukan apa yang diperintahkan di samping menjauhi apa yang dilarang,nescaya Allah mengurniakan janji baikNya. Namun jika sebaliknya, sungguh teguran Allah pasti datang sama ada segera atau bertangguh. Keyakinan ini menerbitkan rasa takut kita daripada mengalihkan konsentrasi terhadap Kalamullah yang padat berisi pengajaran.

5.      MENGHARAP
Yakni berasa tamak kepada pahala dan syurga yang Allah peruntukkan kepada pencinta solat sekalian. Jangan pernah kita berputus dari tali pengharapan ini kerana keampunan dan cinta Allah ialah impian bagi tiap insan biasa dan para pendosa seperti kita. Maka tenang dan bergembiralah bagi kita yang khusyuk dan tawaduk pada tiap pengabdian solatnya.

6.      MALU
Merasakan bahawa jiwa kita masih lemah dalam menunaikan hak Allah, menyedari kurangnya keikhlasan,dan suka kepada ganjaran yang segera dari segala amal perbuatan kita. Sedangkan Allah Maha Mengetahui semua rahsia,apa yang terlintas di hati sekalipun kecil dan tersembunyi. Dengan ini,akan timbullah perasaan malu yang menebal pada Allah.

            Komitmen jasad dan hati ialah roh,syarat,dan zouq solat itu sendiri. Barangsiapa yang menginsafi akan kunci rahsia solat,tentu kita akan faham bahawa kelekaan,kelewatan,’main-main’ dalam mendirikannya itu ialah kesalahan dan tidak menepati piawaian konsep pensyariatan solat.

Barakallahu feekum.

(Adaptasi rujukan; Bimbingan Untuk Mencapai Tingkat Mukmin-Ringkasan Ihya ‘Ulumuddin karangan Imam Ghazali)


0 comments:

Post a Comment