Wednesday, March 20, 2013

Pokok Berbuah

Firman Allah swt :

 “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu..” (2:190)
Perang dalam islam hanya boleh dilakukan apabila keadaan memaksa dan hanya apabila umat islam diserang. Peperangan dalam Islam bertujuan sebagai balasan untuk mempertahankan kesucian agama, bangsa dan keluarga dari diserang musuh.

KISAH-KISAH DALAM PEPERANGAN
Peperangan pertama dalam Islam telah menyaksikan kemenangan tentera Islam melawan tentera kuffar dalam Perang Badar. Tentera Islam yang berjumlah 300 pada waktu itu telah berjaya mengatasi kekuatan musyrikin Quraisy yang berjumlah 1000 orang.  Keikhlasan tentera dan para mujahidin Islam dalam menegakkan panji agama Islam telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil di dalam kekuasaan Allah bahkan hanya pengharapan dan penyerahan diri secara mutlak kepadaNYA membuahkan kejayaan di dunia lagi.

 Berakhirnya perang Badar menimbulkan ketidakpuas hatian musyrikin Quraisy terhadap kemenangan orang Islam. Mereka telah merancang untuk menyerang tentera Islam bagi menebus kembali maruah tercalar dek kekalahan yang tidak logik akal bagi mereka. Akhirnya, tercetus  perang Uhud di bukit Uhud. Perancangan yang rapi dilakukan oleh nabi Muhammad SAW dalam menghadapi peperangan kali ini. Semua tentera Islam mengetahui tugas dan posisi masing-masing malah strategi yang dirancang seakan dapat menggambarkan kemenangan umat Islam. Tentera musyrikin pula dipimpin oleh salah seorang daripada panglima perang yang handal iaitu panglima Khalid al-Walid yang masih belum memeluk Islam pada ketika itu.

Pada mulanya peperangan berpihak kepada tentera Islam. Kebijaksanaan Rasulullah dalam mengatur tentera Islam, terutamanya pasukan memanah yang berada di puncak bukit, memberi kelebihan kepada pihak Islam. Serangan mereka dari atas membuatkan tentera musyrikin kucar-kacir dan banyak yang terbunuh malah terdapat juga tentera musyrikin yang berundur. Namun, apabila tentera memanah melihat ramai yang meninggalkan harta mereka, mereka telah turun dari atas bukit untuk memungut hasil rampasan perang dan hanya segelintir sahaja yang masih tinggal di atas bukit. Mereka ini adalah golongan yang patuh dengan arahan rasulullah saw kerana masih kekal di posisi masing-masing sehinggalah perang tamat.

Akibat dari ketidakpatuhan tentera Islam terhadap arahan Rasulullah, tentera Khalid al-Walid telah mengambil posisi mereka di atas bukit. Maka, peperangan yang tadinya memihak kepada tentera Islam telah bertukar kepada kaum musyrikin. Ramai tentera Islam telah terbunuh dan Rasulullah sendiri tercedera. Bahkan ada berita yang mengatakan Rasulullah telah terbunuh dan melemahkan semangat mereka untuk untuk terus berperang.  Akhirnya, pihak musyrikin telah menamatkan peperangan ini kerana mereka percaya dengan khabar tersebut.

Perjuangan para muslimin diteruskan lagi dalam perang Khandak. Perang yang menyaksikan kaum Yahudi bersama tentera Quraisy berganding bahu dalam menentang umat Islam. Mereka telah mengepung kota Madinah untuk memerangi kaum muslimin. Malah, pada ketika ini terdapat kaum Yahudi yang melanggar perjanjian dengan Rasulullah dan mengkhinanati perjanjian tesebut. Seorang pemuda bernama Salman al-Farisi telah melontarkan idea bernas beliau untuk menggali parit di sekeliling Madinah. Cadangan ini dipersetujui oleh Rasulullah saw. Akhirnya tentera kuffar berundur kerana keberkesanan strategi ini.

Seterusnya sejarah menyaksikan peperangan yang menyayat hati dalam sejarah Islam, iaitu perang Mu’tah. Perang yang tercetus pada tahun ke 8 hijrah ini terjadi kerana penolakan kerajaan Rom terhadap dakwah Rasulullah. Pada ketika ini Rasulullah telah menugaskan Zaid bin Harithah sebagai panglima perang manakala Ja’far bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah masing-masing sebagai pengganti Zaid, seandainya Zaid syahid. Malah perang ini disertai oleh Khalid bin al-walid yang baru memeluk islam pada ketika itu.
Sewaktu peperangan, Sebatang tombak menembusi tubuh Zaid dan beliau akhirnya gugur. Bendera segera diambil oleh Ja'far bin Abi Thalib.Ketika musuh telah mengepung kudanya, Ja'far justeru turun dan terus menuju ke tengah-tengah musuh mengayunkan pedangnya. Tiba-tiba seorang tentera Romawi datang dan berhasil memukulnya. Pukulan itu menyebabkan tubuh Ja'far terbelah dua dan beliau syahid menemui Tuhannya.

Bendera lalu disambar oleh Abdullah bin Rawahah dan terus dibawa dengan menunggang kuda menuju ke tengah musuh. Beliau juga turut syahid menyusuri kedua sahabatnya. Bendera lalu diambil oleh Tsabit bin Arqam seraya berteriak, "Wahai kaum Muslimin! Berkumpullah disekeliling seseorang."Lalu kaum Muslimin pun berkumpul mengelilingi Khalid bin Al-Walid dan bendera Nabi terus diserahkan kepada Khalid yang kemudian terus memimpin pasukan.

APLIKASI DALAM KEHIDUPAN

“Those who cannot remember history are condemned to repeat it.”

Sejarah tidak berlaku hanya untuk dilihat dan dirakamkan dalam mushaf-mushaf sejarah sahaja. Malah ia bukanlah setakat salah satu silibus yang dihafal oleh pelajar sekolah dan dilupakan setelah berakhirnya hari peperiksaan. Sepatutnya sejarah zaman lampau perlu dihayati oleh semua pihak. Apatah lagi sejarah Islam yang begitu banyak memberikan kisah dan pengajaran yang patut dicontohi oleh generasi pemuda zaman sekarang.

Tentera Islam yang sedikit jumlahnya dalam perang Badar telah berjaya menewaskan tentera musyrikin yang berjumlah beberapa kali ganda melebihi bilangan tentera Islam. Kualiti umat Islam yang dilahirkan hasil tarbiyah oleh Rasulullah saw mampu melawan norma yang biasanya membuktikan yang ramai dapat mengalahkan bilangan yang sedikit. Mereka ini adalah para sahabat yang sanggup mati dan berjihad sedaya dan semampu mereka dalam menyebarkan dakwah Islam. Hanya kepada Allah mereka memohon pertolongan dan mengharapkan bantuan. Sikap ini yang patut dipupuk dalam diri seorang muslim yang sejati. Bahkan dalam diri seorang mahasiswa khususnya, bukanlah kuantiti mahasiswa yang mengenggam segulung ijazah yang ditekankan tetapi mahasiswa yang berdaya saing dan mempunyai kemahiran  mantap yang ingin dilahirkan.

Kepatuhan kepada ketua amat dituntut dalam Islam, bahkan dalam peperangan Uhud tentera Islam dikalahkan kerana sikap tentera Islam yang tidak mematuhi arahan rasulullah. Persatuan atau jemaah itu didirikan dengan adanya ahli dan ketua, tetapi tiadakan tertegak sesuatu persatuan tanpa wujudnya sifat mematuhi arahan ketua. Bahkan sikap mengikut kepala sendiri dan membelakangkan ketua bakal menghancurkan jemaah tersebut. Jadi wujudnya satu persatuan yang berjaya dan kukuh dalam masyarakat itu, disebabkan oleh adanya kerjasama, tolak ansur dan yang paling utama adalah melaksanakan tugas yang diberikan berdasarkan arahan ketua.

Perang Khandak menyaksikan, seorang pemuda yakni Salman telah mencadangkan satu idea yang bernas yang membawa kepada kemenangan islam dengan izin Allah. Inovasi dalam memberi idea amat dituntut pada masa kini, apatah lagi pada era globalisasi yang menuntut mahasiswa agar berfikir secara  di luar kotak. Walaupun kedengaran tidak logik pada awalnya namun, berani dalam memberi idea dapat membantu menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi. ‘Blue ocean strategy’  yang sejak akhir-akhir ini selalu diungkapkan sebenarnya amat sesuai dengan situasi ini.

Akhirnya perang Mu'tah yang memberi gambaran tentang sifat jihad yang amat kuat di kalangan para sahabat. Seharusnya, sifat ini ditanam dan dipupuk dalam diri seorang mahasiswa dan para pemuda. Tanpa sifat jihad yang hanya menginginkan redha Allah, Islam tidak mungkin akan tertegak di bumi ini. Sifat jihad ini jugalah yang telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkemuka Islam samada pada masa kini atau lampau. Bagi situasi seorang mahasiswa, jihad inilah yang mendorong agar bersungguh dalam pelajaran untuk agama Islam, bahkan sifat jihad inilah yang bakal menggerakkan persatuan tanpa meminta apa-apa penghargaan atau balasan kerana hanya keredhaan Allah yang diharapkan.

Sebagai seorang mahasiswa kelas pertama yang berintegriti, kita seharusnya dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah-kisah sejarah Islam padanya punyai banyak teladan yang mantap. Bukan sekadar tahu dan belajar tetapi mahasiswa yang cekap perlu mengapikasikan ilmu dan beramal dengan ilmu. Bak kata pepatah, “ilmu tanpa amal, ibarat pokok tanpa buah”. Pokok yang  tidak dapat memberi faedah kepada orang lain dan diri sendiri. Jadilah mahasiswa yang cerdik dan celik akalnya, dan sudah pastinya beramal dengan gaya hidup muslim cemerlang.

Hasil Nukilan: Siti Fatimah Az-Zahra' binti Kamarulzaman (harherron)

0 comments:

Post a Comment