Perjuangan yang Tiada
Pernah Henti
(Oleh : Hidayatul Hanis Hanapi)
(Oleh : Hidayatul Hanis Hanapi)
“Mengapalah pokok limau
ini lambat berbuah, sedangkan aku selalu berdoa pada Allah supaya pokok ini
cepat berbuah”, keluh seorang petani yang tinggal di sebuah kampung yang
terletak di satu kawasan terpencil di bumi Malaysia pada nasib dirinya. Dalam
masa yang sama, petani itu langsung tidak menyiram dan membaja pokok tersebut,
apatah lagi menggemburkan tanah di sekitarnya. Dia sebenarnya tidak sedar bahawa
keluhannya membawa maksud menyalahkan Tuhan yang maha Esa sedangkan dia
langsung tidak berusaha.
Pada pendapat anda semua, adakah pokok itu akan tumbuh
dan berbuah?
Jawapannya mudah. "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah
nasib sesuatu kaum kecuali mereka sendiri yang merubahnya " ( Ar-ra'd:11 ). Pokok limau tersebut
mungkin akan tumbuh, tapi bukan dalam keadaan yang sihat.
Kenapa?
Dek kerana pokok limau itu tidak dijaga dengan baik.
Ya, kita boleh untuk
bertawakal, namun tawakal tanpa disertakan bersama usaha adalah ‘useless’.
Begitu juga dengan kehidupan seharian kita, sekiranya kita bertawakal tanpa
berusaha dengan bersungguh-sungguh, itu samalah seperti mengharapkan bulan
jatuh ke riba. Pepatah Inggeris pernah menyebut, “what you give is what you get”.
Berapa banyak usaha yang kita bagi, sebanyak itu jugalah pulangan yang akan
kita peroleh.
Situasi ini bolehlah
disamakan dengan situasi kita menjelang peperiksaan akhir yang akan bermula
tidak lama lagi. Oleh sebab itu, saya ingin mengajak anda semua untuk mengadaptasikan
sedikit sebanyak tips yang selalu kita dengar, tapi belum tentu selalu kita
buat sebelum menghadapi peperiksaan. Antaranya:
1.
Niat yang betul
Sabda Rasulullah
(s.a.w) :
“Sesungguhnya setiap amal perbuatan bergantung pada
niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) sesuai dengan niatnya.
Barangsiapa yang hijrahnya karena Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada
Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana urusan dunia yang
ingin digapainya atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahinya, maka
hijrahnya sesuai dengan apa yang diniatkannya tersebut”
(Hadis riwayat
Al-Bukhari dan Muslim)
Sebelum kita mula belajar, adalah dituntut untuk kita menetapkan
niat di dalam hati. “Ya Allah, bukakanlah hatiku untuk menerima ilmuMu, sesungguhnya
aku amat mengharapkan redaMu dengan ilmu ini, ya Allah. Maka, Engkau
limpahkanlah segala ilmu yang bermanfaat untuk diriku agar dapat aku berbakti
kepada keluarga, masyarakat, negara dan agamaku. Ya Allah, Kau permudahkanlah
urusan kami”. Berbekalkan niat yang ikhlas kerana Allah, pasti Allah akan
menilai amalan yang kita lakukan sebagai ibadat. Imam An-Nawawi juga pernah
menyebut bahawa niat adalah ukuran dalam menilai benarnya suatu perbuatan, lantaran
itu, ketika niatnya benar, maka perbuatan itu benar, dan jika niatnya buruk,
maka perbuatan itu buruk.
2.
Istiqamah
Merujuk kepada Kamus
Dewan edisi ke-empat, istiqamah bermaksud ketaatan menjalankan sesuatu suruhan
secara terus-menerus (termasuk urusan agama). Sebagai seorang insan yang
memegang status pelajar, khususnya perubatan, kita seharusnya sentiasa istiqamah
dalam membuat sesuatu urusan seperti membuat revision sebelum dan selepas belajar
di dalam kelas. Istiqamah dalam belajar sangat menuntut sikap suka memaksa
diri. Sibuk berpersatuan bukanlah satu alasan untuk kita tidak beristiqamah. Seharusnya
kita pandai mencuri masa-masa yang terluang untuk membuat ulangkaji, misalnya
ketika menunggu bas sebelum ke sekolah. Sesungguhnya Allah menyukai amalan
seorang yang istiqamah walaupun sedikit. Mafhum ayat 15, surah As-Syura juga
menyebut tentang istiqamah.
“Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah
(mereka wahai Muhammad kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah
engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah
engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah : Aku beriman
kepada segala kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya
berlaku adil di antara kamu. Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu.
Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana
kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada
hari kiamat), dan kepadanyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan
diberi balasan).”
3. Menjaga hubungan dengan Allah, ibu bapa dan
sahabat
Indikator
yang paling penting untuk mengukur keberkesanan hubungan kita dengan Allah
ialah solat. Solat itu tiang agama. Rumah yang dibuat tanpa tiang pasti tidak
dapat didirikan, begitu juga dengan agama kita. Solat yang berkualiti bukan
sahaja dapat menjamin kekuatan agama di dalam diri kita, justeru, secara tidak
langsung menghalang daripada anasir-anasir keji dan mungkar sebagaimana Tembok
Besar China menjadi perisai daripada serangan musuh. Persoalannya, bagaimana
kita boleh menjadikan solat kita solat yang berkualiti? Antara jawapannya adalah
dengan mendirikan solat di awal waktu. Solat di awal waktu sangat ditekankan oleh
agama Islam kerana Allah ingin mengajar kita peri pentingnya disiplin dan
menepati masa. Oleh yang demikian, pengaplikasian disiplin dan menepati masa di
dalam kehidupan seharian kita sebagai seorang pelajar pasti akan membuahkan
kejayaan. Sedarlah, dengan kita mengingati Allah pada waktu senang, sudah tentu
Allah akan membantu kita di kala susah.
Seterusnya
ialah menjaga hubungan dengan ibu bapa kita. Kehidupan sebagai seorang pelajar
terkadang menjadikan masa kita tertumpu kepada pelajaran semata-mata. Namun,
jangan sekali-kali kita melupakan jasa kedua ibu bapa kita. Disebabkan
merekalah, kita boleh sampai ke tahap sekarang. Dalam era langit terbuka luas ini,
pelbagai kemudahan telah terhidang, contohnya mobile voip, SMS, yahoo
messenger, skype, whats app, viber. Oleh itu, sangatlah rugi jika kita tidak
menggunakan segala kemudahan ini ke arah kebaikan. Sememangnya sekiranya kita
tidak menghubungi ibu bapa kita, mereka tetap mendoakan kejayaan yang terbaik
buat anak-anak mereka. Kendatipun begitu, apa salahnya jika kita berkorban
sedikit masa kita untuk bertanyakan khabar mereka kerana pada hakikatnya ibu
bapa ingin diberi perhatian tetapi kadang-kadang si anak kurang mengerti
tentang perkara tersebut. Sungguh, doa ibu bapa sangat makbul.
Selain
hubungan dengan Yang Maha Esa dan hubungan dengan ibu bapa, jangan kita lupa
untuk menjaga hubungan sesama sahabat kita. Musim peperiksaan adalah antara
musim yang paling genting untuk menjaga tali ukhuwwah antara sahabat. Hal ini
kerana sekecil-kecil masalah yang berlaku pada musim peperiksaan jika tidak
diselesaikan secepatnya, mungkin akan menjadi satu masalah yang sangat besar.
Apatah lagi masalah tersebut ditambah lagi dengan tekanan yang dihadapi
seseorang ketika musim peperiksaan. Dalam keadaan ini, amatlah diperlukan
sahabat yang mampu bertolak ansur dan tenang dalam menyelesaikan masalah yang
berlaku. Sahabat yang baik ialah sahabat yang sentiasa mendoakan kebaikan buat
sahabatnya tanpa diketahui oleh sahabat tersebut. Ingatlah sahabat, “Kalau ada
kemahuan dan usaha, 'halangan' itu adalah satu perkataan yang tiada makna
apa-apa. Impian adalah titik gerak langkah kita, kesungguhan dan keyakinanmu
bakal menentukan titik akhirnya.”
4. Doa dan Tawakal
Setelah penat berusaha, proses yang terakhir adalah
dengan kita berdoa dan bertawakal kepada Allah. Doa dan tawakal
antara seorang hamba kepada PenciptaNya menunjukkan pengharapan kita kepada
Allah di samping boleh meningkatkan tahap ketaqwaan kita kepada Allah. Allah
telah berfirman dalam surah Ali Imran, Ayat 159 yg bermaksud:“Apabila kamu
telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah”.
Jika kita hendak menikmati
buah yang manis di akhirat, mestilah pohon yang kita tanam di dunia subur.
Maksudnya, di dunia lagi hidup kita mesti cemerlang, itulah petanda di akhirat
nanti kita akan cemerlang. Buya Hamka pernah menyatakan, “Kalau hidup sekadar
hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga
bekerja.” Kita semua pasti mengharapkan kejayaan yang paling besar iaitu
berjaya mendapat syurga Allah. Sekiranya kita mengetahui tujuan sebenar kita
hidup di dunia, sudah semestinya kita akan berusaha sehabis baik untuk mendapat
natijah yang terbaik.
“Barangsiapa yang bertaqwa kepada
Allah (s.w.t), nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan
memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang
bertawakal kepada Allah (s.w.t), nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)
nya. Sesungguhnya Allah (s.w.t) melaksanakan urusan (yang dikehendaki) nya.
Sesungguhnya Allah (s.w.t) telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”.'
(Surah At-Talaq : 2-3)
Itulah antara tips-tips yang
diharapkan dapat membantu kita semua untuk menghadapi peperiksaan yang bakal
menjelang tiba. Seorang ustaz pernah membuat perumpamaan mengenai ilmu, berkatalah ustaz itu : “Ilmu ini ibarat seguni emas,
kalau kita tak mampu nak mengangkat seguni emas itu, jangan tinggalkan emas
itu, tapi ambillah sebanyak mana yang kita mampu utk membawanya. Letaklah dalam
poket sedikit, dalam beg sedikit, ataupun di mana-mana di anggota tubuh kita yang
boleh kita ambil manfaat emas itu. Sekiranya tidak boleh ambil banyak, jangan ditinggalkan
terus, kena ambil juga walaupun sedikit.”
Sebagaimana yang kita sedia
maklum, Nabi junjungan kita Nabi Muhammad (s.a.w) seorang yang maksum, yakni terhindar
daripada melakukan sebarang dosa. Walaupun begitu, Rasulullah (s.a.w) juga
seorang yang dikenali dengan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh. Ketika Perang
Badar, kaum muslimin yang berjumlah 313 orang sahaja terpaksa berhadapan dengan
1000 tentera daripada kaum kafir Quraisy. Walaupun bilangan kaum muslimin
dilihat sangat kecil jika dibandingkan dengan kaum kafir Quraisy, namun mereka
semua sentiasa diingatkan bahawa mereka harus mempertahankan keyakinan dan
keimanan diri mereka. Rasulullah (s.a.w) juga telah menghabiskan sepanjang
malam dengan berdoa dan beribadah walaupun baginda (s.a.w) mengetahui bahawa
Allah telah menjanjikan mereka kemenangan.
Rasulullah (s.a.w) melebihkan
cinta dan penghambaannya serta penyerahan diri hanya kepada Allah (s.w.t)
dengan ibadah yang baginda kerjakan. Dan itulah yang dikatakan sebagai bentuk ibadah
tertinggi yang dikenali sebagai ‘ainul yaqiin.
Memetik beberapa bait daripada lagu Adamu oleh Najwa Latif
yang dapat dijadikan pedoman :
Merenung ke luar jendela
Melihat kebesaranNya
Mensyukuri segala nikmat
Yang dikurniaNya di dunia
Kau berikan ku kekuatan
Untuk berpegang pada jalan
Walau penuh dengan cabaran
Ku tahu ku adaMu Tuhan
Kerna Kau yang satu
Yang setia bersamaku
Di kala ku jatuh ku bangkit kerna Mu
Ku tahu ku adaMu di sisi ku selalu
Bantulah hambaMu mencari keredhaanMu
Ku tahu ku adaMu
Ku adaMu selalu
Melihat kebesaranNya
Mensyukuri segala nikmat
Yang dikurniaNya di dunia
Kau berikan ku kekuatan
Untuk berpegang pada jalan
Walau penuh dengan cabaran
Ku tahu ku adaMu Tuhan
Kerna Kau yang satu
Yang setia bersamaku
Di kala ku jatuh ku bangkit kerna Mu
Ku tahu ku adaMu di sisi ku selalu
Bantulah hambaMu mencari keredhaanMu
Ku tahu ku adaMu
Ku adaMu selalu
Secara
holistiknya, proses menuntut ilmu tidak akan pernah ada garisan penamat. Segala
ujian dan mehnah adalah satu lumrah kehidupan, sedari kecil ketika di dalam
kandungan ibu sehinggalah ke liang lahad. Tanpa ilmu dan ujian, tidak mungkin
akan ada warna-warni kehidupan. Tidak akan terhidu harum mewangi jikalau tidak
dinyalakan setanggi, tidak akan terasa manisnya hidup jikalau tidak dilambung
gelora. Pepatah kehidupan ada mengatakan “Hidup
ini macam mengupas kulit bawang, makin dikupas, makin menangis kerana
kepedihan.” Kesimpulannya, tuntutlah ilmu kerana menuntutnya adalah
ibadah, mengingatinya adalah tasbih, membincangkannya adalah jihad,
mengajarkannya kepada yang tidak mengetahui adalah sedekah, dan menghabiskan
masa dengan ilmu adalah pendekatan diri kepada Allah. WaAllahua’lam...
~Road to the exam. Bittaufiq wannajah~
love it! Thnks hanis
ReplyDelete