Maafkan saya teman kerana dalam ruang yang diberikan ini, tidaklah pandai saya untuk bermadah lunak. Jauh sekali untuk mengarang cereka. Bahkan, suka saya bentangkan sedikit lontaran kata untuk ingatan kita bersama. Hayatilah..
Wahai Pemuda-pemudi harapan..
Hati-hatilah dalam setiap perbuatan dan percakapan. Harmonikan pergaulan sesama sendiri. Sesungguhnya, sangat ramai yang kecundang dalam pergaulan. Dalam kehidupan kita khususnya dalam persahabatan, adakalanya pertengkaran kecil pasti berlaku. Inilah yang mengeratkan lagi ikatan antara sahabat dan lebih mengenali diri masing-masing. Sekalipun ada hati yang terguris, lantaran kasih sayang yang wujud dalam diri berjaya menangkis segalanya. Kita akan memaafkan kesalahan sahabat kerana kasih akan sahabat.
Ibarat manusia ini adalah satu anggota tubuh yang mana apabila salah satu anggota itu sakit, anggota lain pasti terasa juga tempiasnya. Jangan gadaikan sebuah persahabatan dek satu kesilapan yang dilakukan oleh sahabat kita. Tidak ada manusia yang sempurna di dalam dunia. Oleh itu, hendaklah kita menerima sahabat seadanya dan saling melengkapi.
Bersama renungkan analogi ini...
Sekumpulan alumni sekolah yang mempunyai latar belakang pendidikan yang mantap mengadakan pertemuan di rumah seorang guru. Masing-masing menceritakan kehidupan dan tekanan belajar dan masyarakat yang dihadapi. Mendengar luahan hati mereka, guru tadi segera bangun menuju ke dapur. Kembali dengan membawa teko besar berisi air kopi dan pelbagai jenis cawan dan gelas. Ada yang diperbuat dari porselin, plastik, kaca dan kristal.
Guru tadi menyuruh menyuruh mereka menuang sendiri kopi tersebut. Setelah semua pelajarnya memilih dan mengambil bekas serta menuangkan kopi masing-masing, profesor itu berkata :
“ Jika anda semua perasan, semua cawan yang cantik dan mahal telah diambil dan anda meninggalkan cawan yang biasa dan kelihatan murah. Ini adalah keadaan yang biasa di mana anda semua mahukan yang terbaik dalam hidup anda, tetapi itulah punca kepada masalah yang anda semua hadapi.”
“Apa yang sebenarnya diperlukan hanyalah kopi, bukan cawannya tetapi anda sendiri telah memilih untuk mengambil cawan yang terbaik. Dan lebih teruk lagi anda memerhatikan cawan yang diambil oleh orang lain.”
Kehidupan diibaratkan seperti kopi. Kerjaya, sahabat dan masyarakat adalah cawan tersebut. Semuanya sekadar alat untuk mengisi kandungannya iaitu kehidupan. Kehidupan tidak berubah dan hanya alat yang berubah. Kadangkala kita terlalu fokus kepada cawan yang dipegang sehingga gagal untuk menikmati kopi tersebut.
Wahai pewaris para anbia’..
Adalah menjadi kehendak Allah SWT agar kita menghayati Islam itu secara bersama. Penghayatan Islam secara bersama akan lebih berkesan untuk membentuk dan menyusun komuniti kita. Semoga kita dapat menghirup udara Islam dan mati kita pun dalam suasana Islam, Insya Allah.
Kita bukanlah pemula dalam perjuangan dan bukan pula pengakhir. Kita adalah salah satu rantai daripada rantai-rantai perjuangan. Ayuh sahabat! Kita runtuhkan segala perselisihan kita, kita perkuatkan kesatuan kita, kita corakkan strategi untuk gagah mara kehadapan.
Marilah kita perkukuh kesatuan yang kita bina ini!
0 comments:
Post a Comment