Monday, January 2, 2012

Terimalah Tanda Cinta

Hasil karya: doraduwa :)

Pasti ada antara kita yang pernah melalui saat-saat yang begitu sulit dalam kehidupan. Atau mungkin boleh dikatakan kesemua kita pernah menghadapinya. Begitulah rencah dunia, tidak akan pernah lari dari masalah serta ujian. Dan, makin menyesakkan dada, jika ujian menimpa tatkala diri sedang bergelumang dengan tekanan menghadapi peperiksaan. Terkadang, hati terasa ingin berhenti dari terus berusaha. Jiwa terasa amat kontang dari cinta-Nya dan kasih insan sekeliling.
Masalah. Ujian. Kegagalan. Mungkin bagi sesetengah orang, mudah untuk mengatasi semua bentuk cubaan ini. Tapi bagi sesetengah yang lain? Jauh dari keluarga tercinta, atau mungkin keluarga sendiri punya masalah berat yang perlu diselesaikan membuatkan kita makin terasa nilai ukhuwah dalam persahabatan lantaran peranan yang dimainkan seorang sahabat sejati yang tidak lokek menasihati dan membimbing sahabat yang kehilangan arah tujuan hidupnya dek masalah dunia yang insyaAllah boleh diselesaikan dengan akal yang waras.

Sentiasa kita mengharapkan keberhasilan dalam setiap yang kita lakukan. Tapi mengapa tidak kita bersikap terbuka dalam menerima sesuatu yang Allah takdirkan. Menyalahkan masalah dan ujian yang menimpa bukanlah suatu cara terbaik kerana dalam setiap apa yang Allah tentukan, PASTI ada hikmahnya tersendiri. Hikmah yang hanya dapat disingkap melalui hati-hati yang sabar.
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan kepada Kami.” (21:35)

“Dan sungguh, Kami benar-benar akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang benar-benar BERJIHAD dan BERSABAR di antara kamu; dan Kami akan menguji perihal kamu.” (47:31)

Sedih, terganggu ketika menempuhi ujian hidup sememangnya lumrah manusia yang tidak mampu dikekang. Namun persoalannya, setakat mana, dan sejauh mana kita perlu bersedih hati?
Pernahkah kita bersedih apabila kita tidak melakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh? Pernahkan kita berasa kecewa dengan diri yang jauh dari Allah? Pernahkan kita menangis kerana tidak mampu meninggalkan perkara-perkara lagha? Pernahkan kita menyesali diri kerana tidak mampu melakukan apa-apa tatkala melihat maksiat semakin berleluasa. Memang! Memang membenci dalam hati tika melihat kemaksiatan berlaku termasuk dalam cara-cara mencegah kemungkaran. Tetapi, pada akhir hadith tersebut tertulis,”..dan itulah selemah-lemah iman.” Tidakkah kita berasa sedih pabila ternyata kita mempunyai iman yang lemah?
Kehilangan nikmat dunia membuatkan hati diruntun pilu yang teramat. Mungkin kita terlupa tentang perkara akhirat yang pasti. Di sinilah terselit muhasabah tentang keikhlasan hidup. Bukan pada insan lain, akan tetapi keikhlasan menjalani kehidupan sendiri. Keikhlasan menggunakan dengan sebaiknya nikmat nyawa yang Allah hadiahkan. Ingatlah bahawa ujian itu sunatullah, ketetapan dari Tuhan Pencipta Yang Maha Mengetahui segala hikmah yang terpapar mahupun yang tersembunyi. Hikmah itu bukanlah sesuatu yang dapat dilihat oleh mata kasar. Mungkin kerana mata kasar kita terbatas untuk melihat sesuatu yang begitu halus. Lantas Allah mengurniakan kepada kita mata hati, dan akal fikiran yang mampu berfikir. Hanya hati yang benar-benar menghadirkan pengharapan setulusnya pada Allah dapat menggapai hikmah dari-Nya.

“H
ati itu milik Ilahi, dipinjamkan kepada hambaNya agar kehidupan menjadi lebih bermakna. Tanpa hati sirnalah perasaan. Tanpa hati pudarlah warna kehidupan. Hatimu mencorakkan kanvas hidupmu. Seperti si pelukis yang memerlukan cahaya terang untuk melukis potret nan indah, suluhlah dan terangilah hatimu dengan keimanan. Agar akhirnya, lukisan si hati itu menuju indahnya syurga yang abadi.”

“Dia memberikan hikmah kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Barangsiapa yang diberi hikmah, sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pengajaran kecuali orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.” (2:269)
Ujian datang dan pergi. Tanda cintanya Pencipta kepada ciptaanNya. Yang tidak pernah meninggalkan ciptaan itu walaupun sesaat. Amat jauh berbeza antara kita dan Dia. Maka bersujudlah, taatlah dan redhalah dengan segala ketentuannya. Ujian itu tandanya Allah mencintaimu. Masakan tidak, diri kita pasti pernah melakukan dosa, yang mungkin lantaran dosa itu, kaki kita tergelincir ke dalam neraka yang menyala-nyala. Kerana kasih dan cintaNya, Dia hadirkan ujian sebagai penghapus dosa. Agar kita yang lalai dan leka dengan lautan nikmat dunia, kembali menghadapNya dengan keikhlasan dan tawaduk. Bersyukurlah atas ujian yang menimpa.
"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (2:155)


Allah mengingatkan bahawa hanya orang yang bersabar akan mendapat kegembiraan. Dan “Sesungguhnya bersama kesulitan, ada kemudahan.” (94:6)
Maka, terimalah tanda cintaNya dengan penuh redha. Lantaran cintaNya yang terlalu agung, Dia hadiahkan ujian demi ujian bagi membentuk peribadi kita sebagai professional Muslim yang unggul.

“ Jika kau berduka,
Pandanglah ke sungai,
Airnya tetap mengalir
Walaupun dihalangi batuan.
Jika kau bersedih,
Pandanglah ke langit,
Kau akan sedar,
Allah sentiasa bersama.

0 comments:

Post a Comment