Wednesday, August 24, 2011

sabar itu indah~

بسم الله الرحمن الرحيم
Saya ingin berkongsi sebuah kisah yang mungkin boleh dijadikan pengajaran untuk kita semua. Seorang petani miskin mengharapkan perubahan dalam hidupnya. Dia selalu mengharapkan agar keajaiban berlaku. Pada suatu hari, seperti biasa, dia keluar dari rumah dan pergi ke belakang rumah untuk melihat tanaman dan angsa kesayangannya.
Alangkah terkejutnya petani tersebut apabila dia melihat di dalam reban angsanya ada sebiji telur emas. Pada mulanya, dia tidak mempercayai kejadian tersebut, namun setelah beberapa ketika kemudian, dia menjerit kegembiraan dan menyanyi sambil melambung-lambung telur emas itu. Tanpa berlengah lagi, dia terus menjual telur itu dan sebagai pulangan petani tersebut dapat membeli makanan dan minuman yang enak-enak yang selama ini hanya menjadi impiannya.
Keesokan paginya, dia tidak sabar-sabar lagi untuk pergi ke belakang rumah untuk melihat ke dalam reban angsanya. Sekali lagi, dia mendapati ada sebiji telur emas di sana. Petani itu melompat kegembiraan, dan sekali lagi dia keluar ke pekan untuk menjual telur emas itu dan membawa pulang banyak barangan keperluan rumah.
Ekoran daripada kejadian memperoleh telur emas tersebut, kehidupan petani itu benar-benar berubah. Dia kini tidak perlu lagi bekerja keras, tetapi hanya mengharapkan angsa kesayangangnnya untuk bertelur. Riak kemewahan ini memang menggembirakan.
Pada pagi hari ketiga, petani itu pergi ke reban angsanya dan seperti hari semalam, ada sebiji lagi telur emas tersedia untuknya. Hari itu, dia mula berfikir sendirian dan berkata pada diri sendiri, “Alangkah baiknya kalau angsa ini bertelur tidak hanya sebiji sehari. Tidak perlulah aku menunggunya setiap hari...”
Otaknya ligat berfikir apa yang patut dilakukannya sambil matanya tertumpu kepada angsanya dengan pandangan yang kurang menyenangkan. Dipendekkan cerita, tanpa berfikir panjang, dia terus menangkap angsanya itu dan dengan menggunakan sebilah pisau tajam dia terus membelah perut angsa malang tersebut.
Alangkah terkejutnya setelah angsa itu terkulai layu, dia tidak menemui walaupun sebiji telur emas didalam perut angsanya. Dia sangat kesal dengan perbuatannya itu namun tiada apa yang boleh dibuat untuk menyelamatkan angsanya kerana ia telah mati. Walaupun seberat mana kesedihan yang ditanggung, sepahit mana kepedihan hati untuk mangakui hakikat, kehidupannya kembali seperti dulu, susah dan melarat.
Begitulah sebenarnya apa yang terjadi dalam kehidupan manusia, mereka merasakan bahawa untuk bersabar itu susah, tetapi sebenarnya untuk menanggung akibat daripada tidak bersabar itu jauh lebih susah. Oleh itu, jika kita berhadapan dengan ujian dan kesukaran hidup, ingatkan diri untuk bersabar dan terus bersabar.
Rasulullah s.a.w bersabda : “Dan solat itu laksana sinar rembulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan sabar itu laksana sinar matahari.” (riwayat Muslim)
Ya, benar!! Sabar itu bukanlah satu perkara yang mudah dilaksanakan kerana padanya terdapat kesulitan dan kepenatan. Walaupun sinar matahari itu panas dan tidak menyelesakan, manusia amat memerlukannya untuk mengeringkan pakaian yang basah dan menjadi sumber tenaga kepada pelbagai tanaman dan tumbuhan serta haiwan agar hidup segar dan sihat. Bumi akan menjadi gelap dan suram tanpa kehadiran sinaran sang matahari. Itulah ibarat sifat sabar. Kita amat memrlukannya walaupun ia menagih sedikit kesusahan. Sesungguhnya sabar itu indah!!
p/s : selamat berpulun habis-habisan dalam beribadah terutamanya zon 10 hari terakhir Ramadhan ini dan selamat menghadapi imtihan kepada sahabat-sahabat yang bakal menghadapi duur thani, rabbuna yusahil insyaAllah=)

0 comments:

Post a Comment