Tuesday, January 14, 2014

Sollu ‘ala Nabi




Bismillahirahmanirrahim..

        Setinggi-tinggi kesyukuran diungkapkan kehadrat Ilahi, sang Maha Pencipta di atas segala limpahan nikmat terutamanya nikmat IMAN dan ISLAM sehingga kita masih mampu menghirup nikmat terbesar dan diberi peluang dan ruang untuk berada di bulan mulia Rabiul ‘awal ini. Hamparan salam sejahtera dan selawat jua dihadiahkan kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W, penghulu segala Rasul diatas segala pengorbanan dalam menyebarkan dan menegakkan kebenaran Islam sehingga memberi rahmat kepada sekalian alam.

Firman Allah S.W.T :
وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين ( الأنبياء : 107 )
Maksudnya : Tidaklah aku utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam (manusia dan jin).

Bulan Rabiul ‘awal didefinisikan sebagai bulan di mana bermulanya musim bunga dan musim berbuah bagi tanaman. Bulan ini bulan yang ditunggu-tunggu oleh pencinta Nabi Muhammad SAW, bulan di mana insan yang sangat mulia di dunia ini dilahirkan. Hadirnya Baginda bagai matahari, cahayanya terang menerangi seluruh alam, membawa panji obor keislaman sehingga dijulang ke seluruh pelusuk alam.

Sebagaimana yang diketahui, saban tahun kita meraikan sambutan kelahiran junjungan mulia baginda Nabi Muhammad SAW. Alhamdulillah, telah menjadi satu tradisi pada hari ini untuk meraikan sambutan memperingati  Baginda SAW seperti lantunan mahabbah Qasidah, burdah, berzanji, ceramah-ceramah, forum-forum dan lain-lain. Namun, alangkah indahnya jika menghayati erti pengorbanan dan sirah perjuangan Nabi yang mulia ini supaya ia dapat menusuk ke dalam jiwa kita, menyentuh naluri rohani kita, mengetuk pintu hati kita dan membangkit semula semangat roh perjuangan baginda Nabi SAW  dalam diri kita yang sepatutnya menjadi tanggungjawab bersama dalam menegakkan syariat Islam di atas muka bumi ini.

Apakah sambutan kelahiran Nabi SAW hanya sekadar memperingati Baginda pada bulan Rabiul Awwal sahaja? Secara bermusim? Lantas selepas berlalunya bulan barakah ini, kita tidak perlu lagi mengingati Baginda? Sedangkan kita adalah pewaris dan penyambung mata-mata rantai perjuangan Rasulullah SAW. Siapalah kita di sisi Baginda untuk mengharap syafaatnya, belas kasihannya tatkala matahari terik sejengkal di atas kepala jika kita tidak memperuntukkan sedikit masa pun untuk berselawat kepadanya. Sollu ‘ala Nabi!

Koreksi diri samada kita semakin jauh atau dekat dengannya. Berselawatlah, selawatlah, selawatlah sentiasa, setiap tempat setiap masa, setiap saat. Menangislah kerana kerinduan kita terhadap kekasih Allah SWT. Menangislah kerana amat ingin bersama-sama Rasulullah SAW di syurga Firdaus kelak. Menangislah untuk bertemu Rasullah SAW dalam mimpi kerana tahu diri tidak layak untuk ke syurga Ilahi. Deraikanlah air mata dan menangislah  kerana hidup kita memang dimulakan dengan sebuah tangisan anak kecil , dicelahi dengan tangisan dan diakhiri dengan tangisan. Air mata manusia sentiasa dalam dua-yang menguntungkan dan yang merugikan. Dan untunglah jika tangisan itu daripada tangisan kerana merindui Nabi Muhammad SAW. Sollu ‘ala Nabi!

Pada bulan ini jugalah Sang Pencipta menjemput kekasihNya, Nabi Muhammad SAW pada hari yang sama dengan tarikh lahir baginda iaitu pada 12 Rabiulawal tatkala baginda berusia 63 tahun. Sollu ‘ala Nabi!


ALLAH S.W.T berfirman dalam surah Al-Maidah ayat ke-3 :
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian, dan Aku sempurnakan nikmat-Ku ke atas kalian, dan Aku redha Islam sebagai agama kalian.”
Saat turunnya ayat ini  bergenanglah air mata para sahabat nabi kerana terlalu sedih untuk berpisah dengan baginda. Ketiadaan dan kehilangan baginda sentiasa dirasai sehingga kini. Kami merinduimu ya Rasulullah. Sollu ‘ala Nabi!

Sempena peristiwa kelahiran dan kewafatan Nabi Muhammad SAW pada bulan yang mulia ini, marilah sama-sama kita basahkan lidah dengan memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.



Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 
“Barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat nescaya Allah SWT akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” 
(Hadis riwayat Imam Muslim daripada Abdullah Bin Amru Bin Al-‘Ass RA)



0 comments:

Post a Comment