SUBHANALLAH

Menikmati keindahan ciptaan Ilahi di Sharm El Sheikh

ALHAMDULILLAH

"seringkali kita melakukan dosa, bertaubatlah selagi bernyawa di dunia ini"

LAILAHAILLAH

"sollu alan Nabi Muhammad SAW"

ALLAHUAKBAR

"Merdeka pada hati jiwa itu lagi bermakna"

ASTAGHFIRULLAH

"Harimu adalah hari ini"

Showing posts with label Artikel. Show all posts
Showing posts with label Artikel. Show all posts

Thursday, April 24, 2014

PILIHAN-PERJALANAN MENUJU KEBENARAN

BIODATA RINGKAS PENULIS

Buku setebal 595 mukasurat ini telah ditulis oleh pendebat terkenal Syeikh Ahmad Deedat atau nama sebenarnya, Ahmad Hoosen Deedat. Beliau dilahirkan pada 1 Julai 1918 di India. Setelah dilahirkan, keluarganya langsung berpindah ke Afrika Selatan. Beliau yang dikenali sebagai pendebat dalam comparative religion telah meninggal dunia pada 8 Ogos 2005 di Afrika Selatan. Sepanjang hayat beliau, beliau berjaya menulis sebanyak 20 buah buku bahkan buku yang bertajuk ‘Pilihan’ ini merupakan buku yang paling laris pernah beliau hasilkan.



PERSEDIAAN SEBELUM MEMBACA BUKU INI

Menurut pendapat penulis, adalah dinasihatkan untuk mengetahui beberapa nama kitab-kitab dalam agama Kristian. Maklum mengetahui bahawa kitab mereka terbahagi kepada dua iaitu Old Testament (Taurat) dan New Testament (Injil). Dalam Old Testament yang menjadi pegangan kuat oleh orang-orang Yahudi ini pula terdapat banyak ceraian kitab-kitab antaranya Joshua, Rudges, Samuel (2 versi), Kings (2 versi), Chronicles (2 versi), Ezra, Nehemiah, Esther dan lain-lain. New Testament juga mempunyai banyak kitab antaranya ialah Mathew, Mark, Luke , John, Acts, Romans, Timothy dan banyak lagi. Walaupun orang-orang yahudi hanya berpegang pada kitab Taurat, namun penganut Kristian membenarkan kedua-dua kitab tersebut.

Sebelum memulakan sesuatu hujah, adalah sangat bijak untuk kita mengetahui mazhab yang dipegang oleh orang Krisitan tersebut samada mazhab Protestan, Roman Katholik, Orthodoks, Lutheran , Aglikan atau yang lain. Selain itu, adalah menjadi suatu kelebihan apabila kita cakna akan siapa penulis Bible tersebut samada ianya ditulis oleh Paulus, Mathew, Lucas atu Yohanes. Hal ini kerana, apabila kita mengetahui sebab kitab tersebut ditulis atau sejarah penulis tersebut, ia juga membantu kita dalam menjadikannya sebagai bahan hujah.


PERSOALAN YANG PERLU DICARI JAWAPANNYA

Berdasarkan pembacaan terhadap buku Pilihan ini, terdapat 6 persoalan menarik yang boleh dijadikan sebagai satu booster untuk kita mencari jawapannya. Antara 6 persoalan tersebut adalah:

  1. Apakah Injil ada menyebut tentang Nabi Muhammad saw? Dalam Bible Deuteronomy 18:18 ada menyebut  “like unto thee..”. Para pendeta Kristian amat yakin bahawa ayat tersebut merujuk kepada Nabi Isa. Namun dalam coretan buku ini, Syeikh Ahmad Deedat mengeluarkan banyak bukti serta keterangan bahawa ayat tersebut merujuk kepada Nabi Muhammad saw. Apakah yang dinyatakan oleh Syeikh Ahmad Deedat hingga hampir kesemua hujahnya diiyakan oleh Dominee Van Heerden?
  2.  Apakah bukti yang menunjukkan nabi Muhammad sebagai manusia paling agung sehinggakan seorang pengkaji sejarah dan ahli matematik Amerika, Michael H.Hart menyebutkan dalam bukunya bertajuk The Top Hundred/Greatest Hundred in History meletakkan Nabi Muhammad saw pada ranking pertama. Sedangkan Jesus seorang manusia yang mereka angkat pula diletakkan pada kedudukan nombor ketiga. Adakah terdapat konflik antara penganut Kristian terhadap Jesus?
  3.  Apakah bukti yang menyatakan al-Quran itu sebagai mukjizat?
  4. Bagaimanakah pula dengan Injil, adakah ia firman Tuhan? Adakah terdapat campur tangan daripada mana-mana pihak?
  5.  Apakah yang dimaksudkan dengan cruxifion (penyaliban) dan crucifiction (kisah penyaliban)? Syeikh ada menyatakan disini bahawa sekiranya tidak berlaku crucifiction maka kemungkinan agama Kristian tidak akan ada di dunia ini!
  6. COMBAT KIT! Bagaimana mahu memulakan langkah sekiranya minat untuk mendalami comparative religion sudah ada?


COMBAT KIT!

Sekiranya anda sudah mempunyai minat terhadap bidang comparative religion, nah mulakan dengan tips yang telah digariskan oleh Syeikh Ahmad Deedat sendiri.

Langkah pertama-keperluan untuk anda mempunyai kitab Injil. Ini sudah pasti perlu ada!

Langkah kedua- meletakkan kitab Injil di sebelah indeks yang telah disediakan sendiri oleh syeikh pada halaman 325-327. Menariknya indeks ini telah disertakan sekali dengan halaman mukasurat pada kitab Injil. Anda hanya perlu untuk merujuk sahaja. Mudah kan?

Langkah ketiga- sediakan pen merah,kuning dan hijau. Sekiranya anda menjumpai ayat yang bertentangan moral kehidupan, warnakan dengan pen merah. Manakala, apabila anda menjumpai topik yang berlainan pula seperti ayat menyatakan tentang Nabi Muhammad saw, warnakan dengan pen hijau.  Untuk topik yang bertentangan warnakan dengan pen kuning. Hasilnya anda akan menjadikan kitab injil tersebut penuh dengan kod-kod warna yang dapat digunakan secara cepat untuk dijadikan hujah kepada pendeta Kristian.


CONTOH AYAT BERTENTANGAN DENGAN SOSIAL DALAM INJIL

[Genesis 19: 33-36]

Dalam kitab tersebut ayat yang ditulis adalah seperti berikut:

“Pada malam itu mereka (kedua-dua anak perempuan Lut) memberi ayah mereka (Lut) minum anggur, lalu anak perempuan yang lebih tua melakukan hubungan seksual dengannya.

Keesokan harinya, berkatalah si kakak kepada adiknya: “Malam tadi aku telah tidur dengan ayah, sebaiknya malam ini kita beri dia minum anggur lagi, masuklah engkau untuk tidur dengan dia sehingga masing-masing dari kita akan mempunyai anak dari ayah kita.”

Demikianlah pula pada malam itu juga mereka memberi ayah mereka minum anggur, lalu anak perempuan yang lebih muda membuat hubungan seksual dengan ayahnya.

Dengan cara ini, mengandunglah kedua-dua anak Lut itu dari ayah mereka.”

Daripada ayat diatas, dapat kita saksikan bahawa terdapat unsur penzinaan/sumbang mahram yang ditulis dalam kitab yang dianggap suci oleh penganut Kristian. Mustahil bukan?


CONTOH AYAT MENYATAKAN SIFAT YANG TIDAK PATUT SEBAGAI TUHAN

1)Tuhan bersuit-[Bible Isaiah 5:26, 7:18, Zachariah 10:8]

2)Tuhan mengaum-[Bible Isaiah 42:13, Jeremiah 25:30]

3)Tuhan mencukur-[Bible Isaiah 7:20]

4)Tuhan menyesal-[Bible Jeremiah 15:6, Kejadian 6:6]

5)Tuhan menunggang kerub-[Bible 2Samuel 22:11]

6)Tuhan membunuh 50070 kerana melihat bahtera Tuhan-[Bible 1Samuel 6:19]


PENUTUP

Sebenarnya terdapat banyak lagi contoh-contoh kepincangan ayat yang dinyatakan dalam Bible. Ini membolehkan kita untuk berdebat dengan mereka berdasarkan pengetahuan tentang kitab mereka sendiri. Secara keseluruhannya, buku Pilhan ini berkisar tentang perbandingan antara Islam dan Kristian yang dikupas secara habis-habisan dengan menggunakan kaedah menyatakan kesalahan yang ada pada Old Testament dan New Testament. Untuk mengetahui lebih banyak pengetahuan mengenai isu ini secara lumat, adalah dinasihatkan untuk membaca sendiri buku-buku karangan Syeikh Ahmad Deedat.

Sebelum itu, suka untuk dikongsikan ayat 16-20 dalam Injil Matheus bab 7 yang menyatakan “Mengapa tidak menerapkan ujian  pahit yang Tuhan kehendaki sendiri agar diterapkan kepada sesiapa sahaja yang akan menjadi penuntut kenabian?” Dia telah berkata, “dari buahnyalah kamu akan mengenali mereka. Dapatkah orang memetik buah anggur dari semak duri atau buah ara dari rumput duri? Demikianlah setiap pohon yang baik menghasilkan buah yang baik, sedang pohon yang tidak baik menghasilkan buah yang tidak baik, dari buahnyalah kamu akan mengenali mereka.” Ayat ini telah dibacakan setelah Dominee menolak kebenaran yang dinyatakan oleh Syeikh Ahmad Deedat tentang Nabi Muhammad dalam kitab Injil.

“The problem in the world is that the intelligent peoples are full of doubts while the stupid ones are full of confidence”  
~Charles Bukowski.

Satu perkara yang perlu difikirkan apabila kita menyedari bahawa kita adalah umat Islam. Allah hadirkan satu agama yang lengkap, diterangkan semua perkara daripada sekecil-kecil hal sehinggalah kepada isu-isu mega. Tidak melampau sekiranya dikatakan Islam hadir dengan ilmu yang cukup mapan serta melimpah. Namun, satu perkara yang menyedihkan adalah apabila kita sendiri tidak mengetahui agama sendiri bahkan apabila ditanya oleh pihak Kristian, kita hanya mampu diam. Tidak tahu bagaimana untuk menjawab. Pada sisi yang lain pula, ada sesetengah daripada kita yang mempunyai ilmu, namun kurang keyakinan terhadap ilmu yang diperoleh. Melihat kepada masalah ini, satu persoalan telah timbul. Sampai bila kita hanya mengharapkan insan seperti Syeikh Ahmad Deedat dan Dr Zakir Naik sahaja yang mampu berhujah dengan penuh hikmah dan ilmu untuk menjelaskan kebenaran Islam? Adakah kita tidak mahu menguasai walaupun pada perkara asas tentang kekeliruan dalam agama?



Sunday, March 16, 2014

Saya Tak Perlu Tahu, Janji Saya Sihat





ataupun anda tergolong dalam golongan ini??


"Saya tak perlu tahu, janji saya sihat"


----------------------------------------------------
Antara penyebab mengapa perkara ini berlaku  dalam kalangan umat islam di Malaysia ialah:        

  • Umat Islam tak ambil tahu dengan kandungan ubat yang digunakan
  • Umat Islam tak tahu yang ubat digunakan mengandungi bahan babi
  •  Umat Islam tak bertanya dengan doktor tentang kandungan ubat yang digunakan
  •  Umat Islam tak dimaklumkan oleh doktor tentang kandungan ubat yang diberikan
  •  Tak faham dengan istilah ubat yang menyatakan ubat mengandungi babi
  •  Sering menggunakan situasi darurat kerana terdesak untuk menjadi sihat
  •  Terpedaya semasa membeli ubat dan apabila semak mendapati ubat mengandungi babi
    ---------------------------------------------------------------------------------------------



              Sebagai seorang pelajar Medik MUSLIM,                                                       adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memberi                                                       kesedaran kepada pesakit kita, saudara seakidah kita.


                                                                                                    SO WHAT                                                       IS OUR

     1.  Mencari pilihan ubat alternatif yang lain sekiranya anda diberikan ubat yang mengandungi unsur babi dengan menyenaraikan pilihan ubat-ubatan alternatif yang ada.

               Contohnya : Clexane digantikan dengan Arixtra yang mempunyai fungsi serta  keberkesanan yang sama iaitu mengelakkan masalah pembekuan darah.

    2.  Mengenalpasti ubat-ubatan yang telah diharamkan  dengan menyenaraikan fatwa-fatwa perubatan yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaaan, Malaysia dan Majelis Ulama Indonesia.

    3.  Mengenalpasti bahan-bahan haram haram yang digunakan dalam penghasilan ubat dengan membincangkan 7 kandungan bahan di dalam ubat yang dicurigai antaranya babi, daging yang asalnya dari gelatin stearic asid dan sebagainya.

4.  Mengenalpasti ubat-ubatan yang mengandungi kandungan babi di hospital tempat kita bekerja

5.  Membuat keputusan dalam memilih ubat-ubatan yang sesuai 

6.  Meningkatkan kesedaran halal dalam setiap aspek kehidupan anda dengan membincangkan sebab-sebab pengharaman dan bahaya-bahaya yang berkaitan dengan babi.

7.  Menyedarkan pesakit tentang hak mereka sebagai pengguna Islam yang berhak mengetahui tentang kandungan ubat-ubatan anda.

    8.  Memberi pendedahan pengetahuan kepada pesakit  dengan menerangkan istilah-istilah sains yang ramai orang Islam tidak tahu contohnya label bertulis “This product contain substance from porcine’ bermaksud “Produk ini mengandungi bahan daripada babi”.














Monday, April 22, 2013

Perjuangan yang Tiada Pernah Henti

Perjuangan yang Tiada Pernah Henti
(Oleh : Hidayatul Hanis Hanapi)

“Mengapalah pokok limau ini lambat berbuah, sedangkan aku selalu berdoa pada Allah supaya pokok ini cepat berbuah”, keluh seorang petani yang tinggal di sebuah kampung yang terletak di satu kawasan terpencil di bumi Malaysia pada nasib dirinya. Dalam masa yang sama, petani itu langsung tidak menyiram dan membaja pokok tersebut, apatah lagi menggemburkan tanah di sekitarnya. Dia sebenarnya tidak sedar bahawa keluhannya membawa maksud menyalahkan Tuhan yang maha Esa sedangkan dia langsung tidak berusaha.


Pada pendapat anda semua, adakah pokok itu akan tumbuh dan berbuah?

Jawapannya mudah. "Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum kecuali mereka sendiri yang merubahnya " ( Ar-ra'd:11 ). Pokok limau tersebut mungkin akan tumbuh, tapi bukan dalam keadaan yang sihat.

Kenapa?
Dek kerana pokok limau itu tidak dijaga dengan baik.


Ya, kita boleh untuk bertawakal, namun tawakal tanpa disertakan bersama usaha adalah ‘useless’. Begitu juga dengan kehidupan seharian kita, sekiranya kita bertawakal tanpa berusaha dengan bersungguh-sungguh, itu samalah seperti mengharapkan bulan jatuh ke riba. Pepatah Inggeris pernah menyebut, “what you give is what you get”. Berapa banyak usaha yang kita bagi, sebanyak itu jugalah pulangan yang akan kita peroleh.



Situasi ini bolehlah disamakan dengan situasi kita menjelang peperiksaan akhir yang akan bermula tidak lama lagi. Oleh sebab itu, saya ingin mengajak anda semua untuk mengadaptasikan sedikit sebanyak tips yang selalu kita dengar, tapi belum tentu selalu kita buat sebelum menghadapi peperiksaan. Antaranya:

1.       Niat yang betul

Sabda Rasulullah (s.a.w) :

“Sesungguhnya setiap amal perbuatan bergantung pada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) sesuai dengan niatnya. Barangsiapa yang hijrahnya karena Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya kerana urusan dunia yang ingin digapainya atau kerana seorang wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya sesuai dengan apa yang diniatkannya tersebut” 
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sebelum kita mula belajar, adalah dituntut untuk kita menetapkan niat di dalam hati. “Ya Allah, bukakanlah hatiku untuk menerima ilmuMu, sesungguhnya aku amat mengharapkan redaMu dengan ilmu ini, ya Allah. Maka, Engkau limpahkanlah segala ilmu yang bermanfaat untuk diriku agar dapat aku berbakti kepada keluarga, masyarakat, negara dan agamaku. Ya Allah, Kau permudahkanlah urusan kami”. Berbekalkan niat yang ikhlas kerana Allah, pasti Allah akan menilai amalan yang kita lakukan sebagai ibadat. Imam An-Nawawi juga pernah menyebut bahawa niat adalah ukuran dalam menilai benarnya suatu perbuatan, lantaran itu, ketika niatnya benar, maka perbuatan itu benar, dan jika niatnya buruk, maka perbuatan itu buruk.


2.       Istiqamah

Merujuk kepada Kamus Dewan edisi ke-empat, istiqamah bermaksud ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara terus-menerus (termasuk urusan agama). Sebagai seorang insan yang memegang status pelajar, khususnya perubatan, kita seharusnya sentiasa istiqamah dalam membuat sesuatu urusan seperti membuat revision sebelum dan selepas belajar di dalam kelas. Istiqamah dalam belajar sangat menuntut sikap suka memaksa diri. Sibuk berpersatuan bukanlah satu alasan untuk kita tidak beristiqamah. Seharusnya kita pandai mencuri masa-masa yang terluang untuk membuat ulangkaji, misalnya ketika menunggu bas sebelum ke sekolah. Sesungguhnya Allah menyukai amalan seorang yang istiqamah walaupun sedikit. Mafhum ayat 15, surah As-Syura juga menyebut tentang istiqamah.

Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka wahai Muhammad kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah : Aku beriman kepada segala kitab yang diturunkan oleh Allah, dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu.  Allah jualah Tuhan kami dan Tuhan kamu. Tidaklah patut ada sebarang pertengkaran antara kami dengan kamu (kerana kebenaran telah jelas nyata). Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepadanyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan).”



3.       Menjaga hubungan dengan Allah, ibu bapa dan sahabat

Indikator yang paling penting untuk mengukur keberkesanan hubungan kita dengan Allah ialah solat. Solat itu tiang agama. Rumah yang dibuat tanpa tiang pasti tidak dapat didirikan, begitu juga dengan agama kita. Solat yang berkualiti bukan sahaja dapat menjamin kekuatan agama di dalam diri kita, justeru, secara tidak langsung menghalang daripada anasir-anasir keji dan mungkar sebagaimana Tembok Besar China menjadi perisai daripada serangan musuh. Persoalannya, bagaimana kita boleh menjadikan solat kita solat yang berkualiti? Antara jawapannya adalah dengan mendirikan solat di awal waktu. Solat di awal waktu sangat ditekankan oleh agama Islam kerana Allah ingin mengajar kita peri pentingnya disiplin dan menepati masa. Oleh yang demikian, pengaplikasian disiplin dan menepati masa di dalam kehidupan seharian kita sebagai seorang pelajar pasti akan membuahkan kejayaan. Sedarlah, dengan kita mengingati Allah pada waktu senang, sudah tentu Allah akan membantu kita di kala susah.

Seterusnya ialah menjaga hubungan dengan ibu bapa kita. Kehidupan sebagai seorang pelajar terkadang menjadikan masa kita tertumpu kepada pelajaran semata-mata. Namun, jangan sekali-kali kita melupakan jasa kedua ibu bapa kita. Disebabkan merekalah, kita boleh sampai ke tahap sekarang. Dalam era langit terbuka luas ini, pelbagai kemudahan telah terhidang, contohnya mobile voip, SMS, yahoo messenger, skype, whats app, viber. Oleh itu, sangatlah rugi jika kita tidak menggunakan segala kemudahan ini ke arah kebaikan. Sememangnya sekiranya kita tidak menghubungi ibu bapa kita, mereka tetap mendoakan kejayaan yang terbaik buat anak-anak mereka. Kendatipun begitu, apa salahnya jika kita berkorban sedikit masa kita untuk bertanyakan khabar mereka kerana pada hakikatnya ibu bapa ingin diberi perhatian tetapi kadang-kadang si anak kurang mengerti tentang perkara tersebut. Sungguh, doa ibu bapa sangat makbul.

Selain hubungan dengan Yang Maha Esa dan hubungan dengan ibu bapa, jangan kita lupa untuk menjaga hubungan sesama sahabat kita. Musim peperiksaan adalah antara musim yang paling genting untuk menjaga tali ukhuwwah antara sahabat. Hal ini kerana sekecil-kecil masalah yang berlaku pada musim peperiksaan jika tidak diselesaikan secepatnya, mungkin akan menjadi satu masalah yang sangat besar. Apatah lagi masalah tersebut ditambah lagi dengan tekanan yang dihadapi seseorang ketika musim peperiksaan. Dalam keadaan ini, amatlah diperlukan sahabat yang mampu bertolak ansur dan tenang dalam menyelesaikan masalah yang berlaku. Sahabat yang baik ialah sahabat yang sentiasa mendoakan kebaikan buat sahabatnya tanpa diketahui oleh sahabat tersebut. Ingatlah sahabat, “Kalau ada kemahuan dan usaha, 'halangan' itu adalah satu perkataan yang tiada makna apa-apa. Impian adalah titik gerak langkah kita, kesungguhan dan keyakinanmu bakal menentukan titik akhirnya.”



4.       Doa dan Tawakal

Setelah penat berusaha, proses yang terakhir adalah dengan kita berdoa dan bertawakal kepada Allah.  Doa dan tawakal antara seorang hamba kepada PenciptaNya menunjukkan pengharapan kita kepada Allah di samping boleh meningkatkan tahap ketaqwaan kita kepada Allah. Allah telah berfirman dalam surah Ali Imran, Ayat 159 yg bermaksud:“Apabila kamu telah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah”.

 Jika kita hendak menikmati buah yang manis di akhirat, mestilah pohon yang kita tanam di dunia subur. Maksudnya, di dunia lagi hidup kita mesti cemerlang, itulah petanda di akhirat nanti kita akan cemerlang. Buya Hamka pernah menyatakan, “Kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup. Kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.” Kita semua pasti mengharapkan kejayaan yang paling besar iaitu berjaya mendapat syurga Allah. Sekiranya kita mengetahui tujuan sebenar kita hidup di dunia, sudah semestinya kita akan berusaha sehabis baik untuk mendapat natijah yang terbaik.

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (s.w.t), nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberikannya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah (s.w.t), nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah (s.w.t) melaksanakan urusan (yang dikehendaki) nya. Sesungguhnya Allah (s.w.t) telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”.'
(Surah At-Talaq : 2-3) 


Itulah antara tips-tips yang diharapkan dapat membantu kita semua untuk menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang tiba. Seorang ustaz pernah membuat perumpamaan mengenai ilmu,  berkatalah  ustaz itu : “Ilmu ini ibarat seguni emas, kalau kita tak mampu nak mengangkat seguni emas itu, jangan tinggalkan emas itu, tapi ambillah sebanyak mana yang kita mampu utk membawanya. Letaklah dalam poket sedikit, dalam beg sedikit, ataupun di mana-mana di anggota tubuh kita yang boleh kita ambil manfaat emas itu. Sekiranya tidak boleh ambil banyak, jangan ditinggalkan terus, kena ambil juga walaupun sedikit.”


Sebagaimana yang kita sedia maklum, Nabi junjungan kita Nabi Muhammad (s.a.w) seorang yang maksum, yakni terhindar daripada melakukan sebarang dosa. Walaupun begitu, Rasulullah (s.a.w) juga seorang yang dikenali dengan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh. Ketika Perang Badar, kaum muslimin yang berjumlah 313 orang sahaja terpaksa berhadapan dengan 1000 tentera daripada kaum kafir Quraisy. Walaupun bilangan kaum muslimin dilihat sangat kecil jika dibandingkan dengan kaum kafir Quraisy, namun mereka semua sentiasa diingatkan bahawa mereka harus mempertahankan keyakinan dan keimanan diri mereka. Rasulullah (s.a.w) juga telah menghabiskan sepanjang malam dengan berdoa dan beribadah walaupun baginda (s.a.w) mengetahui bahawa Allah telah menjanjikan mereka kemenangan.  Rasulullah (s.a.w)  melebihkan cinta dan penghambaannya serta penyerahan diri hanya kepada Allah (s.w.t) dengan ibadah yang baginda kerjakan. Dan itulah yang dikatakan sebagai bentuk ibadah tertinggi yang dikenali sebagai ‘ainul yaqiin.



Memetik beberapa bait daripada lagu Adamu oleh Najwa Latif yang dapat dijadikan pedoman :

Merenung ke luar jendela
Melihat kebesaranNya
Mensyukuri segala nikmat
Yang dikurniaNya di dunia

Kau berikan ku kekuatan
Untuk berpegang pada jalan
Walau penuh dengan cabaran
Ku tahu ku adaMu Tuhan

Kerna Kau yang satu
Yang setia bersamaku
Di kala ku jatuh ku bangkit kerna Mu
Ku tahu ku adaMu di sisi ku selalu
Bantulah hambaMu mencari keredhaanMu
Ku tahu ku adaMu
Ku adaMu selalu


Secara holistiknya, proses menuntut ilmu tidak akan pernah ada garisan penamat. Segala ujian dan mehnah adalah satu lumrah kehidupan, sedari kecil ketika di dalam kandungan ibu sehinggalah ke liang lahad. Tanpa ilmu dan ujian, tidak mungkin akan ada warna-warni kehidupan. Tidak akan terhidu harum mewangi jikalau tidak dinyalakan setanggi, tidak akan terasa manisnya hidup jikalau tidak dilambung gelora. Pepatah kehidupan ada mengatakan “Hidup ini macam mengupas kulit bawang, makin dikupas, makin menangis kerana kepedihan.” Kesimpulannya, tuntutlah ilmu kerana menuntutnya adalah ibadah, mengingatinya adalah tasbih, membincangkannya adalah jihad, mengajarkannya kepada yang tidak mengetahui adalah sedekah, dan menghabiskan masa dengan ilmu adalah pendekatan diri kepada Allah. WaAllahua’lam...

~Road to the exam. Bittaufiq wannajah~ 

Thursday, March 21, 2013

Aku dan Persepsi : Kisah aku dan Patologi


               Hari ni hari khamis. Kelas tak banyak mana pun. Tapi aku sendiri pelik, mata kuyu habis. Tak cukup tidur kut. Dari tadi aku menilik jam tangan. "Dah 1.45", aku menggerutu. Kelas praktikal mikroskop tadi pukul 12 lebih dah habis. Kalau ikut nafsu yang memang selalu ada dalam diri aku ni, dah lama aku angkat kaki, balik rumah, makan dan rehat. Tapi hari ni ada kelas muzium patologi khas, Doktor Amal ajar. Aku jujurnya memang malas. Hari ni pergi kelas pun separa ikhlas je. Tapi tengok kawan aku macam Jamal, Afiq,  semangat je ke kelas, mau tak mau, aku gagahkan juga diri nak ke kelas ni. 

             15 minit berlalu, kelibat doktor masih lagi tak kelihatan. Duduk , baring, jalan sini, jalan sana, semua aku dah buat. Aku yang dah mengantuk habis dah mula meroyan, kalah orang mengandung. Beg dah kemas-kemas, dah bersedia nak balik rumah. Tiba-tiba Lah Fahmi, yang dari tadi duduk perhati aku, dia tegur. "Kau nak balik kenapa Ihsan? nak guna internet, sini ada Wifi. Kalau nak tidur, tidur je kat situ. Nanti doktor datang, aku kejut". Sementalah tu, aku jadi serba salah. Kalau aku balik, karang nampak ego maksimus pula. Akhirnya aku mengalah. Kepala aku , aku baringkan juga atas kerusi keras tu. Macam magika, sedar tak sedar, lena juga aku , mau setengah jam. 


             Tepat 2.30 Petang, Doktor Amal datang. Dia minta maaf, dia lewat. Nampak raut wajah dia, penat, namun tetap riang dan bersemangat nak ajar masa tu. Dengan lafaz bismillah, satu persatu dari kesemua 29 Jar Cardio Vascular tu dia ajar ; sangat tersusun, sampai aku yang mengaku sedikit Lampi ni pun faham dengan baik tentang kesemua jar tu. Semakin dia ajar, Semakin hati aku dipagut rasa bersalah. Mulut aku terkumat-kamit ulang apa yang dia sebut, sedang otak terus berfikir dan berfikir.

            Aku nak gelakkan diri aku sendiri. Biar terbahak-bahak, biar nampak yang aku ni tolol mengalahkan Pak Pandir. Aku sanggup bayar hampir 600 Le untuk tuisyen praktikal patologi, sanggup gagahkan diri pergi kelas pagi Sabtu, hari cuti, namun susuk tubuh aku ni malas melampau-lampau nak pergi kelas yang Doktor Amal bagi. Kenapa? Sebab kelas tu free, hati aku menjerit? Doktor Amal ajar tak bagus ke, aku terus monolog? Hebat kelas dia, senang cakap, Superblah! Habis? Habis? Aku tak ada jawapan. 

            Yang pasti, tulah persepsi. Kalau benda berbayar, mindset aku benda tu bagus. Tak boleh tinggal. Rugi. Tapi bila benda senang-senang, Allah bagi kat tangan, aku tak reti bersyukur. Mudah-mudah aku buang. Tadi lepas kelas, aku rasa macam nak tunduk-tunduk beribu kali macam Jepun kat Doktor Amal sebab sudi luangkan masa untuk ajar aku. Tapi aku kawal juga perasaan menggedik tu, takut pula orang kata over.

                 Aku sedar, tak ada guna cakap terima kasih semata-mata. Ya, minggu depan, ada kelas Respi, aku azam aku nak pergi. Tak, aku kena pergi. Khamis depan, 28 Mac 2013, aku bulat besar-besar dalam Planner Perubatan kesayangan aku. Aku tak nak jadi orang yang tertipu dengan persepsi sendiri. Kalau ada member tanya, bagus ke kelas tu, aku akan cakap memang bagus. Sesuperb yang berbayar, sepercuma kasih sayang Doktor Amal untuk kita. Tak kisahlah kalau aku Lampi mana pun, tak tahu nak beza vegetation masa akut rheumatic endocarditis ke masa kronik, yang penting, bila aku pergi, aku dapat redha doktor, doa doktor, macam kawan aku Jamal dan Lah selalu cakap. Sebab aku tau, kejayaan aku , suatu hari nanti (Amiin dan InsyaAllah), bukan sekadar pada kertas dan dakwat, tapi lebih dari tu, berkat dalam ilmu yang aku akan terus kutip di bumi Ardul Kinanah ni. Kan? 

Wednesday, March 20, 2013

Kematian

Tersebut pada hadith bahawa Malaikat Maut memandang pada muka setiap hamba Allah 70 kali setiap hari. Maka apabila dia diutuskan kpd seseorang,dan dia melihat org itu tertawa,maka dia pun berkata : "Hairan sungguh anak Adam ini,aku diutuskan kepadanya utk mengambil rohnya,sedangkan dia masih lagi tertawa."

Dalam sebuah hadith yg sohih menyebutkan: Perkara yg pertama dibukakan kpd penglihatan mata si mayat ialah mikrah:iaitu tangga antara langit dan bumi yg dibuat drpd zamrud hijau yg sgt elok dan tidak pernah dilihat sumpamanya. Hal demikian itu berlaku tatkala dia(mayat) memanjangkan pandangan mata kepadanya.

Misteri Alam Kubur.Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani,m/s 55&59

Pokok Berbuah

Firman Allah swt :

 “Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu..” (2:190)
Perang dalam islam hanya boleh dilakukan apabila keadaan memaksa dan hanya apabila umat islam diserang. Peperangan dalam Islam bertujuan sebagai balasan untuk mempertahankan kesucian agama, bangsa dan keluarga dari diserang musuh.

KISAH-KISAH DALAM PEPERANGAN
Peperangan pertama dalam Islam telah menyaksikan kemenangan tentera Islam melawan tentera kuffar dalam Perang Badar. Tentera Islam yang berjumlah 300 pada waktu itu telah berjaya mengatasi kekuatan musyrikin Quraisy yang berjumlah 1000 orang.  Keikhlasan tentera dan para mujahidin Islam dalam menegakkan panji agama Islam telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil di dalam kekuasaan Allah bahkan hanya pengharapan dan penyerahan diri secara mutlak kepadaNYA membuahkan kejayaan di dunia lagi.

 Berakhirnya perang Badar menimbulkan ketidakpuas hatian musyrikin Quraisy terhadap kemenangan orang Islam. Mereka telah merancang untuk menyerang tentera Islam bagi menebus kembali maruah tercalar dek kekalahan yang tidak logik akal bagi mereka. Akhirnya, tercetus  perang Uhud di bukit Uhud. Perancangan yang rapi dilakukan oleh nabi Muhammad SAW dalam menghadapi peperangan kali ini. Semua tentera Islam mengetahui tugas dan posisi masing-masing malah strategi yang dirancang seakan dapat menggambarkan kemenangan umat Islam. Tentera musyrikin pula dipimpin oleh salah seorang daripada panglima perang yang handal iaitu panglima Khalid al-Walid yang masih belum memeluk Islam pada ketika itu.

Pada mulanya peperangan berpihak kepada tentera Islam. Kebijaksanaan Rasulullah dalam mengatur tentera Islam, terutamanya pasukan memanah yang berada di puncak bukit, memberi kelebihan kepada pihak Islam. Serangan mereka dari atas membuatkan tentera musyrikin kucar-kacir dan banyak yang terbunuh malah terdapat juga tentera musyrikin yang berundur. Namun, apabila tentera memanah melihat ramai yang meninggalkan harta mereka, mereka telah turun dari atas bukit untuk memungut hasil rampasan perang dan hanya segelintir sahaja yang masih tinggal di atas bukit. Mereka ini adalah golongan yang patuh dengan arahan rasulullah saw kerana masih kekal di posisi masing-masing sehinggalah perang tamat.

Akibat dari ketidakpatuhan tentera Islam terhadap arahan Rasulullah, tentera Khalid al-Walid telah mengambil posisi mereka di atas bukit. Maka, peperangan yang tadinya memihak kepada tentera Islam telah bertukar kepada kaum musyrikin. Ramai tentera Islam telah terbunuh dan Rasulullah sendiri tercedera. Bahkan ada berita yang mengatakan Rasulullah telah terbunuh dan melemahkan semangat mereka untuk untuk terus berperang.  Akhirnya, pihak musyrikin telah menamatkan peperangan ini kerana mereka percaya dengan khabar tersebut.

Perjuangan para muslimin diteruskan lagi dalam perang Khandak. Perang yang menyaksikan kaum Yahudi bersama tentera Quraisy berganding bahu dalam menentang umat Islam. Mereka telah mengepung kota Madinah untuk memerangi kaum muslimin. Malah, pada ketika ini terdapat kaum Yahudi yang melanggar perjanjian dengan Rasulullah dan mengkhinanati perjanjian tesebut. Seorang pemuda bernama Salman al-Farisi telah melontarkan idea bernas beliau untuk menggali parit di sekeliling Madinah. Cadangan ini dipersetujui oleh Rasulullah saw. Akhirnya tentera kuffar berundur kerana keberkesanan strategi ini.

Seterusnya sejarah menyaksikan peperangan yang menyayat hati dalam sejarah Islam, iaitu perang Mu’tah. Perang yang tercetus pada tahun ke 8 hijrah ini terjadi kerana penolakan kerajaan Rom terhadap dakwah Rasulullah. Pada ketika ini Rasulullah telah menugaskan Zaid bin Harithah sebagai panglima perang manakala Ja’far bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah masing-masing sebagai pengganti Zaid, seandainya Zaid syahid. Malah perang ini disertai oleh Khalid bin al-walid yang baru memeluk islam pada ketika itu.
Sewaktu peperangan, Sebatang tombak menembusi tubuh Zaid dan beliau akhirnya gugur. Bendera segera diambil oleh Ja'far bin Abi Thalib.Ketika musuh telah mengepung kudanya, Ja'far justeru turun dan terus menuju ke tengah-tengah musuh mengayunkan pedangnya. Tiba-tiba seorang tentera Romawi datang dan berhasil memukulnya. Pukulan itu menyebabkan tubuh Ja'far terbelah dua dan beliau syahid menemui Tuhannya.

Bendera lalu disambar oleh Abdullah bin Rawahah dan terus dibawa dengan menunggang kuda menuju ke tengah musuh. Beliau juga turut syahid menyusuri kedua sahabatnya. Bendera lalu diambil oleh Tsabit bin Arqam seraya berteriak, "Wahai kaum Muslimin! Berkumpullah disekeliling seseorang."Lalu kaum Muslimin pun berkumpul mengelilingi Khalid bin Al-Walid dan bendera Nabi terus diserahkan kepada Khalid yang kemudian terus memimpin pasukan.

APLIKASI DALAM KEHIDUPAN

“Those who cannot remember history are condemned to repeat it.”

Sejarah tidak berlaku hanya untuk dilihat dan dirakamkan dalam mushaf-mushaf sejarah sahaja. Malah ia bukanlah setakat salah satu silibus yang dihafal oleh pelajar sekolah dan dilupakan setelah berakhirnya hari peperiksaan. Sepatutnya sejarah zaman lampau perlu dihayati oleh semua pihak. Apatah lagi sejarah Islam yang begitu banyak memberikan kisah dan pengajaran yang patut dicontohi oleh generasi pemuda zaman sekarang.

Tentera Islam yang sedikit jumlahnya dalam perang Badar telah berjaya menewaskan tentera musyrikin yang berjumlah beberapa kali ganda melebihi bilangan tentera Islam. Kualiti umat Islam yang dilahirkan hasil tarbiyah oleh Rasulullah saw mampu melawan norma yang biasanya membuktikan yang ramai dapat mengalahkan bilangan yang sedikit. Mereka ini adalah para sahabat yang sanggup mati dan berjihad sedaya dan semampu mereka dalam menyebarkan dakwah Islam. Hanya kepada Allah mereka memohon pertolongan dan mengharapkan bantuan. Sikap ini yang patut dipupuk dalam diri seorang muslim yang sejati. Bahkan dalam diri seorang mahasiswa khususnya, bukanlah kuantiti mahasiswa yang mengenggam segulung ijazah yang ditekankan tetapi mahasiswa yang berdaya saing dan mempunyai kemahiran  mantap yang ingin dilahirkan.

Kepatuhan kepada ketua amat dituntut dalam Islam, bahkan dalam peperangan Uhud tentera Islam dikalahkan kerana sikap tentera Islam yang tidak mematuhi arahan rasulullah. Persatuan atau jemaah itu didirikan dengan adanya ahli dan ketua, tetapi tiadakan tertegak sesuatu persatuan tanpa wujudnya sifat mematuhi arahan ketua. Bahkan sikap mengikut kepala sendiri dan membelakangkan ketua bakal menghancurkan jemaah tersebut. Jadi wujudnya satu persatuan yang berjaya dan kukuh dalam masyarakat itu, disebabkan oleh adanya kerjasama, tolak ansur dan yang paling utama adalah melaksanakan tugas yang diberikan berdasarkan arahan ketua.

Perang Khandak menyaksikan, seorang pemuda yakni Salman telah mencadangkan satu idea yang bernas yang membawa kepada kemenangan islam dengan izin Allah. Inovasi dalam memberi idea amat dituntut pada masa kini, apatah lagi pada era globalisasi yang menuntut mahasiswa agar berfikir secara  di luar kotak. Walaupun kedengaran tidak logik pada awalnya namun, berani dalam memberi idea dapat membantu menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi. ‘Blue ocean strategy’  yang sejak akhir-akhir ini selalu diungkapkan sebenarnya amat sesuai dengan situasi ini.

Akhirnya perang Mu'tah yang memberi gambaran tentang sifat jihad yang amat kuat di kalangan para sahabat. Seharusnya, sifat ini ditanam dan dipupuk dalam diri seorang mahasiswa dan para pemuda. Tanpa sifat jihad yang hanya menginginkan redha Allah, Islam tidak mungkin akan tertegak di bumi ini. Sifat jihad ini jugalah yang telah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkemuka Islam samada pada masa kini atau lampau. Bagi situasi seorang mahasiswa, jihad inilah yang mendorong agar bersungguh dalam pelajaran untuk agama Islam, bahkan sifat jihad inilah yang bakal menggerakkan persatuan tanpa meminta apa-apa penghargaan atau balasan kerana hanya keredhaan Allah yang diharapkan.

Sebagai seorang mahasiswa kelas pertama yang berintegriti, kita seharusnya dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah-kisah sejarah Islam padanya punyai banyak teladan yang mantap. Bukan sekadar tahu dan belajar tetapi mahasiswa yang cekap perlu mengapikasikan ilmu dan beramal dengan ilmu. Bak kata pepatah, “ilmu tanpa amal, ibarat pokok tanpa buah”. Pokok yang  tidak dapat memberi faedah kepada orang lain dan diri sendiri. Jadilah mahasiswa yang cerdik dan celik akalnya, dan sudah pastinya beramal dengan gaya hidup muslim cemerlang.

Hasil Nukilan: Siti Fatimah Az-Zahra' binti Kamarulzaman (harherron)