Friday, August 5, 2011

Ramadhan Bulan al-Quran

Ajaibnya al-Quran, kalau dikumpul, dibakar, ditanam, dibuang ke laut nescaya akan terkumpul semula dari hafalan para huffaz yang wujud zaman berzaman.
Ajaibnya al-Quran, tertanam bukan dalam kertas yang bisa dibakar, dikoyak, dicarik, dilumur kotoran, dipadam tapi ditanam dalam hati mukmin, hati para huffaz.
Ajaibnya al-Quran, membolehkan aku mengenal jantina lebah. “Lihat, yang terbang keluar itu betina, yang diam di sarang itu jantan,” terharu ibu dengan pengetahuanku padahal ensiklopedia pemberiannya tak pernah kusentuh.
Ajaibnya al-Quran, mengenalkan manusia dengan zon masa, membuatkan aku tahu buah hatiku bersiap siaga menghadapi siang di sana sedang aku berulit mimpi di sini.
Ajaibnya al-Quran, mendidik manusia berbincang berdua itu paling baik hasilnya berbanding beramai-ramai, sah, perempuan jua maklum.
Ajaibnya al-Quran, mengkhabarkan dunia dengan zarah, sedang mata tak bisa melihat, jangan disangka tiada wujudnya.
Ajaibnya al-Quran, mengizinkan manusia mencabar wibawanya kerana tahu tiada ruang kesilapan dari sudut manapun sedang bapakku sendiri tidak pernah mengizinkan keputusannya dicabar.
Ajaibnya al-Quran, sehingga manusia putus alasan untuk menolaknya. Berkata orang kafir, Muhammad itu gila dan penipu walhal si gila tidak tahu menipu dan si penipu bukan gila. Berikirlah.
Ajaibnya al-Quran, menyuruh bertanya pada yang tahu kerana manusia selalu bodoh sombong mengangkat ego.
Ajaibnya al-Quran, berbondong-bondong manusia memeluk Islam kerananya sedang muslim yang jahil masih terselak-selak mana ajaibnya.
Ajaibnya al-Quran, bahasanya indah mengalahkan pujangga cinta dan bahasa berbunga kekasih sejagat raya.
Ajaibnya al-Quran, mencairkan hati Umar al Khattab yang keras bagai besi membuat insan lain bermuhasabah, 'hatiku bagaimana?'
Ajaibnya al-Quran, memberi peluang kepadaku lelap dalam majlis-majlis rasmi kerana Subhanallah, indahnya kalam-kalam bacaan qari.
Ah, ajaibnya al-Quran sehinggakan kalaulah tidak kerana mata dan tanganku yang lelah pasti tak akan bisa terhenti merekodkan penemuan keajaiban al-Quran saat demi saat.

2 comments:

  1. ajaibnya al quran,saranannya sendiri mengajak kita mengenalinya lebih dekat, menyeru kita mengkajinya lebih dalam...

    ReplyDelete
  2. apakah yg telah kita lakukan untuk mempelajari keajaiban al-quran? ayuh pikir2 la sndiri

    ReplyDelete